Selasa, 4 April 2017

Kalah besar bukan ukuran



ARKIB : 18/08/2003
MESKIPUN tewas 5-0 kepada China dalam perlawanan persahabatan di Alor Star kelmarin, keputusan tersebut bukan ukuran sebenar persiapan negara menghadapi saingan badminton Piala Thomas tahun depan.

Sebaliknya, kekalahan itu harus dijadikan proses penilaian buat pasukan negara menjelang kejohanan berpasukan paling prestij itu, selain bersedia berdepan ancaman China yang masih mampu mencatat kemenangan besar sekalipun turun tanpa juara dunia, Xia Xuanze dan bintang remaja, Bao Chunlai.

Jika selama ini ketiadaan beregu yang mantap menjadi penyebab China sering terlepas gelaran Piala Thomas, kini pasukan itu membuktikan mereka sudah bersedia untuk tampil dan barisan yang lengkap di Indonesia tahun depan selepas memenangi kedua-dua acara beregu.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Star itu, hanya pemain nombor satu negara, Wong Choong Hann dan perseorangan ketiga, Muhammad Hafiz Hashim berjaya mengheret permainan ke rubber-game.

Choong Hann yang baru bergelar naib juara dunia di Birmingham awal bulan ini, tewas kepada naib juara Seluruh England, Chen Hong 15-13, 8-15, 5-15.

Beregu negara, Chan Chong Ming- Chew Choon Eng tumpas 12-15, 12-15 kepada Sang Yang-Zheng Bo, kekalahan kedua mereka kepada pasangan tersebut selepas turut kalah pada Kejohanan Dunia lalu.

Selepas mendahului 2-0, China mengesahkan kemenangan mereka apabila pemain muda, Chen Yu menang straight-set ke atas Lee Tsuen Seng 12-15, 11-15.

Pasangan muda, Cai Yun-Fu Haifeng mengejutkan beregu senior negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah 15-9, 15-1 untuk memberi mata keempat buat China.

Juara Seluruh England, Hafiz yang diharap mampu meraih mata tunggal Malaysia turut kecundang. Dia tewas 9-15, 15-8, 4-15 kepada naib juara Terbuka Jepun, Lin Dan.

Kekalahan kepada China tidak harus meletakkan pasukan negara dalam keadaan panik, sebaliknya ia harus dijadikan medan buat Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memulakan analisis dan percaturan yang bakal digunakan tahun depan.

Perlawanan persahabatan ini diadakan sempena perasmian Stadium Sultan Abdul Halim yang disempurnakan Sultan Kedah, tiga hari yang lalu.

Pemenang bagi kategori perseorangan pada setiap set perlawanan ini menerima hadiah wang tunai sebanyak AS$2,000 sementara pemain yang tewas mendapat AS$1,000.

Sementara untuk beregu yang menang pula menerima hadiah AS$3,000 manakala yang tewas menerima AS$1,500.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dHL1FFuB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan