Khamis, 13 April 2017

Layak ke pusingan akhir Piala Uber - Wanita kita cipta sejarah

ARKIB : 21/02/2004

Pasukan badminton wanita negara bersama jurulatih, Rashid Sidek dan Cheah Soon Kit meraikan kejayaan layak ke pusingan akhir Piala Uber di Jakarta Mei ini selepas menewaskan India 4-1 pada perlawanan kelayakan Piala Uber Zon Asia di Stadium Badminton Cheras, Kuala Lumpur, semalam. - Gambar GAIE UCHEL.
PEMAIN wanita negara melakar dimensi baru dalam sukan badminton antarabangsa apabila buat julung kalinya melepasi pusingan kelayakan Piala Uber di Stadium Badminton Kuala Lumpur, semalam. Kejayaan itu sekali gus menyaksikan skuad Piala Uber negara akan mengiringi pasukan lelaki beraksi pada pusingan akhir Piala Thomas-Uber di Jakarta, Mei ini.
Malaysia yang membariskan gabungan pemain baru dan lama membuat kejutan apabila menewaskan India 4-1 pada perlawanan penentuan peringkat kumpulan X tersebut.
Kejayaan itu meletakkan Malaysia sebagai naib juara kumpulan di belakang Jepun yang memenangi semua perlawanan termasuk yang terakhir menewaskan Hong Kong 4-1.
Ia juga sekali gus menamatkan penantian untuk melepasi pusingan kelayakan sejak Piala Uber dipertandingkan pada 1957.
Ketua jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya sebaik perseorangan kedua negara, Wong Sze Mei mencatat mata kemenangan pasukan.
``Kejayaan ini menaikkan moral pasukan wanita negara. Sekarang baru ada kehidupan dalam jiwa mereka. Saya berpuas hati kerana kita akhirnya benar-benar layak ke pusingan akhir berbanding beraksi atas tiket wild-card saja,'' katanya selepas Malaysia sah layak ke separuh akhir kejohanan kelayakan Piala Uber itu.
Laluan skuad wanita negara ke perlawanan separuh akhir bermula dengan kejayaan perseorangan pertama, Wong Mew Choo menewaskan Aparna Popat yang menjadi sandaran utama pasukan lawan.
Mew Choo yang bermain lebih tenang semalam berbanding ketika bertemu Jepun Selasa lepas menang 11-9, 11-2 dalam masa 20 minit untuk mata pertama negara.
Ia menyuntik semangat gandingan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui untuk menewaskan Jwala Gutta-Kurian Shruti 15-5, 15-12 melebarkan kedudukan dengan 2-0. Sejarah pasukan wanita negara tercatat apabila Wong Sze Mei membuktikan usia bukan penghalang untuk berjaya apabila menewaskan Meenaksh BR 11-9, 11-9 dalam masa 32 minit.
Gandingan Fong Chew Yen-Ooi Sock Ai menyumbang mata keempat negara apabila menewaskan Nazneen Fatima M - Kanwar Manjusha 15-13, 15-3 tetapi Malaysia tidak memperoleh kemenangan penuh apabila pemain muda, Norsyahliza Baharum tewas kepada Murgande Trupti 7-11, 6-11.
Kejayaan awal itu bagaimanapun menganggu kesungguhan pemain pada separuh akhir ketika bertemu Korea apabila pasukan negara tewas 4-1. Malaysia hanya mencuri satu mata menerusi Woon Sze Mei yang yang mendapat kemenangan percuma selepas lawannya, Kim Kyung Ran menarik diri sewaktu kedudukan 11-5, 5-11, 4-6.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan