Sabtu, 8 April 2017

Badminton Terbuka Taiwan - Choong Hann hampiri gelaran



ARKIB : 08/11/2003

WONG CHOONG HANN mara ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Taiwan semalam selepas menewaskan penyandang juara, Taufik Hidayat dari Indonesia. Choong Hann dijadual bertemu pemain Korea Selatan, Lee Hyun pada separuh akhir hari ini.

PEMAIN nombor satu negara, Wong Choong Hann menghampiri gelaran antarabangsa pertamanya tahun ini dengan mara ke separuh akhir badminton Terbuka Taiwan selepas mengetepikan penyandang juara, Taufik Hidayat dari Indonesia semalam.

Choong Hann, pilihan ketiga kejohanan bernilai AS$120,000 (RM456,000) itu mencatat kemenangan agak mudah 15-12, 15-4 ke atas Taufik.

Kemenangan ke atas Taufik pastinya meningkatkan keyakinan Choong Hann untuk mengutip pingat emas pada Sukan SEA di Vietnam bulan depan kerana Indonesia merupakan seteru utama negara.

Choong Hann sebelum ini turut menundukkan seorang lagi bakal pencabar utama di Vietnam, Boonsak Polsana dari Thailand pada pusingan kedua.

Bagaimanapun, naib juara dunia itu bakal berdepan cabaran sukar pilihan pertama dan pemain nombor dua dunia, Lee Hyun Il dari Korea Selatan pada separuh akhir hari ini.

Hyun Il, juara Terbuka Jerman, Belanda dan Switzerland mara selepas mengetepikan pemain Hong Kong, Ng Wei dalam satu lagi saingan suku akhir.

Kejayaan melangkah ke separuh akhir di Taiwan juga pasti meningkatkan semangat Choong Hann yang dalam usaha mempertahankan kejuaraan Terbuka China, minggu depan.

Bagi perseorangan utama negara itu, ini adalah peluang terbaik untuk merangkul gelaran pertama tahun ini dengan ketiadaan pemain-pemain China di Taiwan.

Namun begitu, rekod pertemuan Choong Hann-Hyun Il tidak berpihak kepada pemain negara itu yang tewas dalam pertemuan terakhir kedua-dua mereka.

Hyun Il, yang menyingkirkan pemain Denmark, Anders Boesen pada pusingan ketiga memenangi pertemuan terakhir mereka, 12-15, 15-9, 15-6 pada suku akhir Sukan Asia di Busan, tahun lalu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4deawKwn2
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan