Ahad, 2 April 2017

Hafiz peroleh keyakinan



ARKIB : 02/07/2003
WALAUPUN sekadar dicipta dalam perlawanan persahabatan, kemenangan ke atas pemain nombor dua Korea Selatan, Shon Seung Mo menjadi pemulih keyakinan buat juara Seluruh England Muhammad Hafiz Hashim.

Pemain nombor satu negara itu bakal mengharungi cabaran Kejohanan Badminton Dunia di Birmingham pada penghujung bulan depan.

Hafiz mempamerkan permainan yang mantap apabila pasukan lelaki negara mencipta kemenangan 4-1 menundukkan pasukan pelawat itu dalam pertembungan Cabaran Jemputan Transnasional, di Alor Setar, semalam.

``Kemenangan saya berjaya meningkatkan keyakinan diri, walaupun pada set pertama saya bermain agak emosional sehingga pemain Korea (Selatan) itu berjaya mengejar kedudukan menjadi 14-14,'' kata Hafiz.

Menurut Hafiz, perlawanan itu ujian penting baginya selepas dua bulan tidak menyertai mana-mana kejohanan disebabkan kebimbangan wabak Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS) sebelum ini. Hafiz mengalahkan Sueng Mo 17-14 dan 15-2.

Menurutnya, kemenangan itu telah memulihkan semua keyakinannya tetapi yang lebih penting bagi menghadapi cabaran di Birmingham kelak ialah memastikan prestasi berada pada tahap semasa menjuarai Seluruh England.

Menurut Hafiz, staminanya kini hanya berada di tahap 90 peratus.

Hafiz dan skuad negara yang bakal ke England, berpeluang meningkatkan tahap kecergasan dan memperbaiki kelemahan pada dua lagi pertemuan dengan Korea Selatan dalam siri Cabaran Transnasional di Kota Bahru dan di Kuala Lumpur.

Perlawanan itu diadakan sebagai pemanas badan buat kedua-dua pasukan yang bakal berentap di Birmingham.

Dalam pertandingan pemanas badan Cabaran Elit anjuran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini, Hafiz muncul juara perseorangan. - Bernama

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4d4w0uPca
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan