Ahad, 30 April 2017

Hafiz, Lee mara

ARKIB : 20/11/2004
PEMAIN muda negara, Lee Chong Wei dan Muhammad Hafiz Hashim mencipta kejutan terbesar pada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura apabila menumpaskan pilihan pertama dan ketiga untuk melangkah ke separuh akhir di Stadium Tertutup Singapura, semalam.
Chong Wei, 22, yang disingkirkan oleh pemain tidak ternama seawal pusingan pertama Terbuka China minggu lalu mengetepikan pemain nombor dua dunia dan juara Eropah, Peter Gade-Christensen dari Denmark 15-5, 15-13.
Sementara Hafiz, juga 22, yang membuat penampilan antarabangsa pertama sejak Terbuka Malaysia Jun lalu mengejutkan penyandang juara, Chen Hong dari China 15-13, 15-3.
Terdahulu, Malaysia turut mencipta kejutan dalam beregu campuran apabila pasangan Koo Kien Keat-Wong Pei Tty menyingkirkan pilihan ketiga Jens Erikssen-Mette Schjoldager dari Denmark 15-11, 15-3 untuk bertemu Hendri Saputra Kurniawan-Li Yujia dari Singapura.
Menanti juara Terbuka Malaysia dan pilihan ke-10, Chong Wei pada separuh akhir hari ini adalah pilihan ketujuh dari China, Bao Chunlai yang mengetepikan pemain negara, Kuan Beng Hong 15-8, 15-5 dalam satu lagi suku akhir.
Hafiz yang gagal ke Sukan Olimpik Athens dan menarik diri pada Terbuka China pula akan menentang pemenang pertemuan Kenneth Jonassen dari Denmark atau Ng Wei dari Hong Kong.
Ia kemenangan kedua Chong Wei ke atas Gade selepas menang pada pusingan ketiga Terbuka Malaysia, Mei lalu.
Gade, bekas pemain nombor satu dunia memuji persembahan Chong Wei malah memilihnya sebagai pilihan untuk menjuarai kejohanan bernilai AS$170,000 (RM646,000) itu.
Pasangan wanita, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui pula tewas 9-15, 5-15 kepada pilihan ketujuh dari Thailand, Sathinee Chankrachangwong-Saralee Tungthongkam.
KEPUTUSAN:
(suku akhir, Malaysia sahaja)
LELAKI, perseorangan: Bao Chunlai (Chn) kln KUAN BENG HONG 15-8, 15-5; LEE CHONG WEI kln Peter Gade-Christensen (Den) 15-5, 15-13; Muhammad Hafiz Hashim kln Chen Hong (Chn) 15-13, 15-3
Beregu: Lars Paaske-Jonas Rasmussen (Den) kln LIN WOON FUI-MOHD. TAZARI MOHD. FAIRUZIZUAN 15-9, 15-12
Beregu wanita: Sathinee Chankrachangwong-Saralee Tungthongkam (Tha) kln WONG PEI TTY-CHIN EEI Hui 15-9, 15-5
Beregu campuran: KOO KIEN KEAT-WONG PEI TTY kln Jens Erikssen-Mette Schjoldager (Den) 15-11, 15-3

Tiada ulasan:

Catat Ulasan