Sabtu, 8 April 2017

Selangkah pisahkan Choong



ARKIB : 09/11/2003
JAGUH perseorangan negara, Wong Choong Hann meneruskan pemburuan untuk merangkul gelaran pertamanya tahun ini dengan melangkah ke perlawanan akhir badminton Terbuka Taiwan di National Taiwan University, semalam.

Selepas menyingkirkan juara bertahan, Taufik Hidayat pada suku akhir kelmarin, Choong Hann meneruskan kecemerlangannya dengan mengetepikan pilihan pertama dan pemain nombor dua dunia, Lee Hyun Il dari Korea Selatan di separuh akhir semalam.

Choong Hann, 26, pilihan ketiga pada kejohanan empat bintang bernilai AS$120,000 (RM456,000) itu hanya memerlukan kemenangan straight-set 15-6, 15-11 untuk menempah pertemuan akhir dengan juara Asia dua kali, Sony Dwi Kuncoro.

Sony, 19, yang kini merupakan pemain nombor satu Indonesia mara ke perlawanan akhir selepas mengejutkan pilihan kedua dari Denmark, Kenneth Jonassen 15-12, 15-2.

``Walaupun tewas dalam pertemuan terakhir menentang Hyun Il, saya berkeyakinan tinggi apabila bertemunya di separuh akhir hari ini,'' kata Choong Hann ketika dihubungi di Taiwan, semalam.

Set pertama agak mudah buat Choong Hann yang menerima banyak ruang untuk membalas setiap hantaran lawan sebelum mengutip mata menerusi hantaran ke belakang gelanggang.

Bagaimanapun, Hyun Il cuba memberi tekanan pada set kedua termasuk mendahului 10-6, tetapi Choong Hann bangkit menyamakan kedudukan 10-10 dan kembali di depan 11-10 sebelum mengutip empat mata berturut-turut untuk kemenangan 15-11.

Choong Hann, yang akan turun mempertahankan kejuaraannya di Terbuka China minggu depan kini melebarkan rekod kemenangan kepada 4-1 ke atas pemain nombor satu Korea itu.

Di atas kertas, Choong Hann merupakan pilihan untuk memenangi perlawanan akhir dengan Sony hari ini selepas menang dua daripada tiga pertemuan kedua-dua pemain tahun ini, termasuk dua pertemuan terakhir mereka di suku akhir Terbuka Malaysia dan Kejohanan Dunia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4decGMUaI
© Utusan Melayu (M) Bhd

ARKIB : 08/11/2003
Badminton Terbuka Taiwan - Choong Hann hampiri gelaran
WONG CHOONG HANN mara ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Taiwan semalam selepas menewaskan penyandang juara, Taufik Hidayat dari Indonesia. Choong Hann dijadual bertemu pemain Korea Selatan, Lee Hyun pada separuh akhir hari ini.

PEMAIN nombor satu negara, Wong Choong Hann menghampiri gelaran antarabangsa pertamanya tahun ini dengan mara ke separuh akhir badminton Terbuka Taiwan selepas mengetepikan penyandang juara, Taufik Hidayat dari Indonesia semalam.

Choong Hann, pilihan ketiga kejohanan bernilai AS$120,000 (RM456,000) itu mencatat kemenangan agak mudah 15-12, 15-4 ke atas Taufik.

Kemenangan ke atas Taufik pastinya meningkatkan keyakinan Choong Hann untuk mengutip pingat emas pada Sukan SEA di Vietnam bulan depan kerana Indonesia merupakan seteru utama negara.

Choong Hann sebelum ini turut menundukkan seorang lagi bakal pencabar utama di Vietnam, Boonsak Polsana dari Thailand pada pusingan kedua.

Bagaimanapun, naib juara dunia itu bakal berdepan cabaran sukar pilihan pertama dan pemain nombor dua dunia, Lee Hyun Il dari Korea Selatan pada separuh akhir hari ini.

Hyun Il, juara Terbuka Jerman, Belanda dan Switzerland mara selepas mengetepikan pemain Hong Kong, Ng Wei dalam satu lagi saingan suku akhir.

Kejayaan melangkah ke separuh akhir di Taiwan juga pasti meningkatkan semangat Choong Hann yang dalam usaha mempertahankan kejuaraan Terbuka China, minggu depan.

Bagi perseorangan utama negara itu, ini adalah peluang terbaik untuk merangkul gelaran pertama tahun ini dengan ketiadaan pemain-pemain China di Taiwan.

Namun begitu, rekod pertemuan Choong Hann-Hyun Il tidak berpihak kepada pemain negara itu yang tewas dalam pertemuan terakhir kedua-dua mereka.

Hyun Il, yang menyingkirkan pemain Denmark, Anders Boesen pada pusingan ketiga memenangi pertemuan terakhir mereka, 12-15, 15-9, 15-6 pada suku akhir Sukan Asia di Busan, tahun lalu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4deawKwn2
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan