Ahad, 30 April 2017

Chong Wei mara, Hafiz kecundang

ARKIB : 21/11/2004
PEMAIN negara, Lee Chong Wei meneruskan kecemerlangan pada Kejohanan Badminton Terbuka Singapura apabila menundukkan pilihan ketujuh, Bao Chunlai dari China 3-15, 15-9, 17-15 untuk mara ke perlawanan akhir perseorangan lelaki di Stadium Tertutup Singapura, semalam.
Bagaimanapun, hasrat Chong Wei hendak menentukan kejuaraan dengan rakan senegara, Muhammad Hafiz Hashim hari ini tidak kesampaian apabila juara Seluruh England 2003 itu tewas 11-15, 15-11, 11-15 kepada pilihan kedua dari Denmark, Kenneth Jonassen.
Cabaran Malaysia pada kejohanan bernilai AS$170,000 (RM646,000) itu turut diteruskan pasangan Koo Kien Keat-Wong Pei Tty yang mengecewakan penyokong tempatan dengan menundukkan beregu Singapura, Hendri Saputra Kurniawan-Li Yujia 8-15, 15-11, 15-13 dalam beregu campuran.
Begitupun, Kien Keat gagal meneruskan kecemerlangan dalam beregu lelaki apabila gandingan bersama Chan Chong Ming tewas 6-15, 15-5, 8-15 kepada beregu Denmark dan pilihan kedua, Jens Eriksson-Martin Lungaard Hansen.
Berbanding permainannya ketika menyingkirkan pemain nombor dua dunia dan pilihan utama, Peter Gade-Christensen di suku akhir kelmarin, Chong Wei bermula perlahan apabila berdepan Chunlai, semalam.
``Saya tengok dia bermula dengan begitu agresif jadi saya cuba untuk membaca rentak permainannya,'' kata juara Terbuka Malaysia itu. ``Saya sudah bersedia untuk kalah pada set pertama tetapi jurulatih mahu saya meningkatkan permainan di set kedua. Jelas, lawan kehilangan rentak apabila saya mengatur asakan demi asakan.''
Selepas menang 15-9 di set kedua, juara kebangsaan itu berada pada kedudukan kritikal di set penentuan apabila ketinggalan 9-12 dan 10-13 tetapi bernasib baik berjaya bangkit dengan pantas untuk menjadikan kedudukan 14-13.
Chunlai mengheret perlawanan ke dius apabila mengikat kedudukan 14-14 tetapi Chong Wei tidak melakukan kesilapan apabila menamatkan cabaran dengan 17-15.
Seperti Chong Wei, Hafiz, yang memburu gelaran antarabangsa pertama sejak Seluruh England tahun lalu bermula perlahan dan tewas 11-15 pada set pertama.
Walaupun bangkit memenangi set kedua 15-11, pemain Nusa Mahsuri itu mengulangi kesilapannya pada set penentuan sehingga ketinggalan 0-6, 4-10, 7-13 sebelum tewas 11-15.
Sementara itu Kien Keat, 19, menyifatkan kejayaan mara ke perlawanan akhir beregu campuran sebagai bonus kerana tidak meletakkan harapan tinggi dalam acara tersebut.
``Tumpuan sebenar saya adalah dalam beregu lelaki kerana saya percaya gandingan bersama Chong Ming lebih berpeluang untuk pergi jauh,'' kata Kien Keat, yang akan bertemu pasangan Indonesia, Nova Widianto-Liyana Natsir.
KEPUTUSAN (separuh akhir)
LELAKI, perseorangan: LEE CHONG WEI (MAS) kln Bao Chunlai (Chn) 3-15, 15-9, 17-15; Kenneth Jonassen (Den) kln MUHAMMAD HAFIZ HASHIM (MAS) 15-11, 11-15, 15-11
Beregu: Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen (Den) kln CHANG CHONG MING-KOO KIEN KEAT (MAS) 15-6, 5-15, 15-8
WANITA, perseorangan: Zhou Mi (Chn) kln Yao Jie (Chn) 11-0, 11-3; Zhang Ning (Chn) kln Pi Hongyan (Fra) 11-2, 11-6
Beregu: Yang Wei-Zhang Jiewen (Chn) kln Gao Ling-Huang Sui (Chn) 15-7, 15-10; Sathinee Chankrachangwong-Saralee Thungthongkam (Tha) kln Rikke Olsen-Mette Schjoldager (Den) 15-11, 15-3
Beregu campuran: Nova Widianto-Liyana Natsir (Ina) kln Nathan Robertson-Emm Gail (Den) 15-4, 15-3; KOO KIEN KEAT-WONG PEI TTY (MAS) kln Hendri Kurniawan Saputra-Li Yujia (Sin) 8-15, 15-11, 15-13

Tiada ulasan:

Catat Ulasan