Sabtu, 8 April 2017

Choong Hann gagal pertahan kejuaraan



ARKIB : 17/11/2003
SHANGHAI, China - Pemain perseorangan utama negara, Wong Choong Hann gagal mempertahankan kejuaraan Terbuka China yang dimenanginya tahun lalu apabila tumpas kepada pemain tuan rumah, Lin Dan pada perlawanan akhir, semalam.

Choong Hann yang turut memburu kejuaraan kedua berturut-turut dalam tempoh dua minggu selepas menjuarai Terbuka Taiwan minggu lalu tewas 17-16, 15-12.

Begitu pun pemain negara berusia 26 tahun tetap memberikan tentangan sengit di depan penyokong setia China yang padat memenuhi stadium yang terletak di Selatan bandar Guangzhao itu.

Lin Dan yang mendapat sokongan padu daripada tempat duduk penonton jelas menggunakan kesempatan bermain di tempat sendiri untuk memberikan tekanan kepada Choong Hann.

Kedua-dua pemain kidal itu saling mengejar mata dan mengatasi satu sama lain sejak awal permainan cuma kesilapan memisahkan nasib mereka.

Ini terbukti apabila Choong Hann lebih kerap menghantar bola ke luar dari gelanggang permainan berbanding Lin Dan terutama di saat-sat genting.

Faktor itulah yang menyaksikan Choong Hann tewas tipis 17-16 pada set pertama dan kesilapan itu terus diulangi Choong Hann pada set kedua sebelum tewas 15-12.

Dengan kemenangan Lin Dan itu, China menyapu bersih gelaran perseorangan lelaki dan wanita pada kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai AS$250,000 tersebut.

Terdahulu, Zhou Mi menjuarai acara perseorangan wanita selepas menewaskan rakan senegara, Gong Ruina 13-10, 11-1.

Pemain pilihan ketiga kejohanan itu dipaksa bekerja keras pada set pertama sebelum Gong Ruina mengalami kecederaan pada set kedua.

Diletakkan sebagai pilihan pertama, Gong Ruina yang beraksi dalam keadaan berbalut kedua-dua belah lututnya gagal meneruskan permainan dan terpaksa menarik diri ketika kedudukan 5-1 pada set kedua.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dhki3oGN
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan