Isnin, 3 April 2017

Choong Hann lakar sejarah



ARKIB : 02/08/2003
MOHD. ROSLIN HASHIM cuba mengembalikan hantaran Bao Chunlai dalam suku akhir perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Dunia di Birmingham, England, semalam. Roslin tewas 15-7, 15-10. - Gambar AP.

BIRMINGHAM, England - Wong Choong Hann melakar sejarah baru badminton negara apabila muncul perseorangan pertama Malaysia mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia selepas menundukkan juara Asia, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia 15-8, 15-4 di National Indoor Arena, di sini semalam.

Pemain nombor satu negara itu bagaimanapun menjadi pemain tunggal Malaysia beraksi dalam separuh akhir hari ini selepas Mohd. Roslin Hashim dan beregu Chan Chong Ming-Chew Choon Eng kandas pada perlawanan terdahulu.

Choong Hann, 25, pilihan kesembilan kejohanan kini akan menentang pemain nombor satu dunia, Chen Hong dari China, lawan yang telah dikalahkannya dalam perlawanan akhir Terbuka China, tahun lalu.

Sementara itu, Chong Ming-Choon Eng yang menjadi sebutan untuk melangkah ke perlawanan akhir selepas ketiadaan beregu handalan Korea, bagaimanapun mempamer aksi mengecewakan, tewas mengejut kepada pasangan China, Sang Yang-Zheng Bo 15-7, 3-15, 15-11.

Terdahulu, Roslin nyata tidak bermaya untuk menangani cabaran pemain muda China dan juara remaja dunia, Bao Chunlai apabila tersungkur 7-15, 10-15 dalam perlawanan yang berlangsung selama 47 minit.

Keghairahan untuk menamatkan perlawanan awal ketika mendahului 9-2 pada set penentuan mendorong Chong Ming-Choon Eng melakukan banyak kesilapan, terutama Choon Eng yang membuat hantaran yang tersekat di jaring dan sering menghantar servis pendek.

``Kami hanya mahu menang dalam perlawanan ini, mungkin terlalu yakin pada set penentuan hingga banyak melakukan kesilapan,'' kata Choon Eng, yang tidak menyertai sebarang kejohanan antarabangsa sejak Februari lalu.

``Ketika mendahului 9-2 pada set ketiga, kami hanya mahu menang sehingga terlupa untuk memikirkan strategi permainan.

Pasangan China itu berjaya menggunakan sepenuhnya kealpaan kami dan memberikan tekanan tinggi terutama selepas kedudukan 10-10.''

Ini merupakan pertemuan kedua pasangan negara dan Sang Yang-Zheng Bo. Chong Ming-Choon Eng menang pada perlawanan sulung mereka di Terbuka di Terbuka China 2001 menerusi keputusan empat set - ketika itu permainan berlangsung dengan format tujuh mata dengan lima set terbaik.

Chong Ming-Choon Eng pada awalnya dilihat mampu memenangi pertemuan semalam selepas menang set pertama 15-7 dalam masa 17 minit.

Namun, kedua-dua pemain itu mula menunjukkan kepincangan pada set kedua, tewas mudah 3-15 dalam masa 10 minit.

Ketika perlawanan bertukar gelanggang, pasangan negara sedang mendahului 8-2, satu kedudukan yang meyakinkan. Sebelum kesilapan demi kesilapan dilakukan untuk membenarkan pemain China mengejar dan menyamakan kedudukan 10-10 dan akhirnya menang 15-11.

Sementara itu Roslin nyata kepenatan ketika berdepan Chunlai selepas dipaksa mengharungi pertarungan sengit selama 1 jam, 42 minit ketika menewaskan pemain Korea, Lee Hyun Il 15-10, 13-15, 17-14 kelmarin.

Walaupun cuba memberi cabaran pada set kedua, namun hantaran Roslin kerap tidak menjadi, malah dia gagal membalas kebanyakan smash yang dilakukan Chunlai dan ketinggalan sejak mata pertama.

``Saya sudah cuba yang terbaik, tetapi kaki saya seolah-olah berat untuk melangkah,'' kata Roslin, yang bagaimanapun mencatat pencapaian terbaik melangkah ke suku akhir.

``Saya benar-benar gagal pulih selepas beraksi dalam satu perlawanan yang sengit semalam.

``Chunlai pula mudah mengalahkan Taufik (Hidayat) jadi mempunyai lebih banyak tenaga berbanding saya. Mungkin jika tidak kerana terpaksa beraksi dalam pertarungan tiga set semalam, saya memiliki peluang yang lebih baik hari ini.''

Sementara itu dalam perlawanan lain, juara Seluruh England, Candra Wijaya-Sigit Budiarto menepati ramalan, melangkah mudah ke separuh akhir selepas mengalahkan pasangan China, Cheng Rui-Wang Wei 15-3, 15-3.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0802&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dBUedURU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan