Ahad, 16 April 2017

Pemain negara mara ke pusingan ketiga

ARKIB : 01/04/2004
Choongju, Korea Selatan - Semua pemain perseorangan negara mara ke pusingan ketiga kejohanan badminton Terbuka Korea dengan diterajui oleh naib juara dunia, Wong Choong Hann di Stadium Tertutup Choongju semalam.
Choong Hann bagaimanapun diberikan saingan sengit oleh pemain Taiwan, Lio Sheng Shiun selama 48 minit sebelum menang 15-12, 15-6 pada pusingan kedua kejohanan semalam.
Choong Hann yang diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan akan bertemu pemain Hong Kong, Agus Hariyanto pada pusingan ketiga hari ini.
Mohd. Roslin Hashim, pilihan ke-14 kejohanan, juga mara setelah menang ke atas pemain Australia, Stuart Brehaut 15-7, 15-4. Menunggunya hari ini di pusingan ketiga ialah Bjoern Joppien dari Jerman yang menundukkan pemain China, Zhu Weilun 15-8, 6-15, 15-8.
Seorang lagi pemain perseorangan lelaki negara, Lee Chong Wei pula menghadapi kesukaran sebelum mara ke pusingan ketiga. Dia terpaksa bekerja keras selama sejam sebelum menang 15-4, 13-15, 15-6 ke atas wakil tuan rumah, Lee Cheol-ho.
Halangan sukar menanti Chong Wei, yang diletakkan selaku pilihan ke-16, di pusingan ketiga kerana akan berdepan dengan pilihan keenam Kenneth Jonassen. Dua pemain perseorangan wanita negara turut mara dengan bergaya ke pusingan ketiga.
Wong Mew Chew, yang mendapat kemenangan percuma ke atas pemain Rusia, Ella Karachkova semalam, mara ke pusingan ketiga selepas menundukkan pemain Jamaica, Nigella Saunders 11-4, 11-1. Woong Sze Mei pula menewaskan Nadiezda Kostiuczyk dari Poland 11, 6, 11-8. - Agensi
KEPUTUSAN:
Pusingan kedua (pemain Malaysia sahaja)
Perseorangan lelaki
Wong Choong Hann mn Liao Sheng-Shiun (TPE) 15-12, 15-6 - 48 minit
Mohd. Roslin Hashim mn Stuart Brehaut (AUS) 15-7, 15-4 - 32 minit
Lee Chong Wei menang ke atas Lee Cheol-ho (KOR) 15-4, 13-15, 15-6 - 60 minit
Beregu lelaki:
Chew Choon Eng-Chan Chong Ming klh Pramote Teerawiwatana-Tesana Panvisvas (THA) 15-13, 15-9
Perseorangan wanita:
Woon Sze Mei mn Nadiezda Kostiuczyk (POL) 11-6, 11-8
Wong Mew Choo mn Nigella Saunders (JAM) 11-4, 11-1
Beregu wanita:
Wong Pei Tty-Chin Ei Hui klh Chen Yu Chin-Chen Wen Hsing (TPE) 15-0, 15-6

Tiada ulasan:

Catat Ulasan