Ahad, 2 April 2017

Mew Choo mampu ubah persepsi



ARKIB : 21/07/2003

Oleh Norzie Mohd. Khasbi

JUARA kebangsaan, Wong Mew Choo berazam untuk mengubah persepsi peminat sukan tanahair terhadap pemain badminton wanita negara dengan menjanjikan persembahan terbaik pada Kejohanan Dunia di Birmingham, 28 Julai hingga 3 Ogos ini.

Walaupun mengakui adalah mustahil untuknya melangkah ke perlawanan akhir, apatah lagi muncul juara, Mew Choo yakin dia masih boleh mengubah tanggapan masyarakat jika mampu memberikan tentangan sengit kepada pemain handalan.

Menurut pemain berusia 20 tahun itu, masanya sudah tiba untuk dia membuktikan pemain wanita bukan sekadar ``penumpang'' dalam pasukan negara setiap kali beraksi di luar negara.

``Masih lagi terlalu awal untuk melihat keputusan dilakukan oleh saya pada Kejohanan Dunia kali ini, anda semua tahu itu mustahil tetapi sekurang-kurangnya saya percaya saya sedang menuju ke tahap lebih baik,'' katanya semalam.

``Saya masih terlalu mentah dalam saingan antarabangsa, Piala Sudirman (kejohanan berpasukan campuran), Mac lalu adalah satu-satunya pertandingan besar yang saya sertai tahun ini, saya perlu lebih banyak pendedahan.''

Mew Choo mencuri tumpuan apabila dua kali mengalahkan pemain nombor 11 dunia, Kim Kyeung-ran dalam perlawanan persahabatan menentang Korea Selatan, awal bulan ini.

Dalam perlawanan pertama di Alor Star pemain ranking ke-124 dunia itu menang 11-8, 13-11, sebelum mengulangi kemenangannya di Pengkalan Chepa, 5-11, 11-7, 11-5.

Mew Choo akhirnya tewas dalam pertemuan terakhir dengan pemain nombor satu Korea itu tetapi selepas mengheretnya ke permainan rubber-set 11-8, 6-11, 4-11.

Pemain kelahiran Ipoh itu sebelum ini turut beraksi cemerlang menumpaskan juara Sukan Asia 1998 dan pemain nombor sembilan dunia, Kanako Yonekura dari Jepun dengan keputusan straight-set pada Piala Sudirman.

Kali terakhir Malaysia merangkul pingat emas perseorangan wanita pada Sukan SEA adalah menerusi Sylvia Ng di Kuala Lumpur, 1977.

Mew Choo adalah wakil tunggal perseorangan wanita negara di Birmingham, manakala cabaran beregu wanita dibawa pasangan Wong Pei Ty-Chin Eei Hui.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0721&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4d6FY6rsi
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan