Ahad, 30 April 2017

Berkorban demi satu gelaran

ARKIB : 02/11/2004

BEREGU negara, TAN Boon Heong-Hoon Thien How semalam mendedahkan mereka terpaksa mengorbankan satu kertas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang sedang berlangsung dalam laluan merangkul kejuaraan badminton remaja dunia.
Malah Thien How-Boon Heong tanpa berselindung juga mengakui tidak begitu pasti akan nasib mereka dalam peperiksaan tersebut kerana lebih banyak menghabiskan masa di atas gelanggang latihan berbanding menelaah buku.
Kedua-dua pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Kuala Lumpur itu berkata, mereka juga tidak menduduki peperiksaan percubaan yang lalu kerana terlalu sibuk melakukan persiapan.
``Saya telah banyak mengabaikan pelajaran demi mencapai kejayaan dalam badminton, kalau tidak menang di Vancouver sudah tentu ia seperti sia-sia,'' kata Thien How yang kembali ke Kuala Lumpur bersama Boon Heong semalam selepas melakar kejayaan bersejarah di Vancouver, Kanada, kelmarin.
``Saya tidak tahu apa akan jadi dengan SPM kali ini, nampak seperti teruk. Tetapi saya puas kerana pengorbanan saya tidak sia-sia dan saya pulang bersama gelaran juara remaja dunia,'' katanya lagi.
Thien How mengakui, hatinya dan Boon Heong tidak begitu tenang ketika turun menentang pasangan Korea Selatan, Lee Yong Dae-Jung Jung Young dalam perlawanan akhir kerana menyedari pada hari yang sama peperiksaan kertas sains sukan sedang berlangsung.
Bagaimanapun keazaman tinggi untuk membawa pulang kejuaraan, selain sokongan padu yang diberikan oleh jurulatih, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pihak SSBJ telah memberi kekuatan kepada mereka untuk mencatat kemenangan 15-6, 3-15, 15-12.
Walaupun berjaya menjadi beregu ketiga Malaysia selepas Chan Chong Ming-Jeremy Gan (1996) dan Chong Ming-Teo Kok Seng (1998) merangkul gelaran beregu remaja lelaki dunia, Thien How dan Boon Heong percaya laluan mereka untuk berada di puncak dunia masih jauh.
Malah, juara Sekolah-Sekolah Asia dan remaja kebangsaan itu secara jujur mengakui, mereka tidak fikir akan disenaraikan ke Sukan SEA di Manila tahun depan atau mendapat keistimewaan beraksi dalam lebih banyak pertandingan.
``Saya tidak tahu apakah perancangan selepas ini kerana semua terserah kepada jurulatih tetapi untuk mendapat tempat di Sukan SEA rasanya masih terlalu awal,'' kata Boon Heong.
``Kami masih pemain peringkat remaja, kalau berjaya mempamer peningkatan mungkin tiga atau empat tahun lagi boleh berada dalam skuad senior.
``Apa pun buat masa sekarang, kami mahu berehat daripada sebarang latihan kerana hendak memberi tumpuan kepada SPM. Banyak yang kami tertinggal, kami boleh rehat daripada badminton tetapi tidak dalam pelajaran.''
Kedua-dua pemain itu akan menduduki kertas peperiksaan Bahasa Melayu, Isnin depan.
Kata Boon Heong, tugasan yang sudah menantinya dan Thien How selepas tamat SPM ialah Sukan Remaja Komanwel di Australia, 20 November hingga 4 Disember.
``Saya tidak tahu adakah untuk kejohanan itu kami akan meneruskan latihan di Bukit Kiara seperti lima bulan lepas atau kembali ke Bukit Jalil seperti sebelumnya, buat masa sekarang kami tidak mahu fikir dulu tentang badminton.''
Ketibaan Boon Heong-Thien How di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam turut disambut oleh presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan