Jumaat, 21 April 2017

Malaysia bermula cemerlang

ARKIB : 08/05/2004
JAKARTA - Seperti diduga, Malaysia membuka tirai cabaran pusingan akhir badminton Piala Thomas dengan kejayaan cemerlang 5-0 ke atas Afrika Selatan dalam saingan Kumpulan C yang berlangsung di Stadium Istora Senayan, Kompleks Sukan Bung Karno di sini, semalam.
Pemain perseorangan negara, Wong Choong Hann tidak menghadapi masalah mengenepikan lawannya Chris Dednam 15-1, 15-4 dalam perlawanan berat sebelah yang ternyata membuktikan jurang di antara mereka.
Bergelar naib juara dunia selain kedudukannya sebagai pemain nombor tiga dunia, Choong Hann yang tidak beraksi pada kejuaraan Asia (ABC) di Kuala Lumpur bulan lalu, mudah meratah lawannya yang berada pada ranking yang jauh.
Lee Chong Wei yang beraksi buat kali pertama di pusingan akhir pula meraih mata kedua apabila dengan tenang menumpaskan Dean Potgieter 15-1, 15-1 sementara Muhd. Hafiz Hashim memastikan mata kemenangan dengan mengalahkan Wiaan Viljoen.
Hafiz, bekas juara Seluruh England yang beraksi buat kali kedua selepas membantu Malaysia mara ke perlawanan akhir di Guangzhou dua tahun lalu tanpa belas kasihan menumbangkan lawannya dengan 15-0 dan kedua-dua set.
Pasangan veteran, Lee Wan Wah dan Choong Tan Fook pula mengetepikan cabaran Chris Dednam dan Roelof Dednam 15-3, 15-3 sementara pasangan `baru', Chew Choon Eng dan Koo Kien Keat menang 15-3, 15-1 ke atas Dorian James dan Wiaan Viljoen 15-3, 15-1.
Choon Eng merupakan gandingan Chan Chong Ming tetapi jurulatih beregu, Yap Kim Hock merehatkan Chong Ming yang baru pulih daripada kecederaan dengan memberi peluang kepada Kien Keat beraksi buat kali pertama untuk kejohanan ini.
Kejayaan besar menumbangkan pasukan yang dibimbing oleh Morten Frost Hansen, bekas jurulatih Malaysia yang berasal dari Denmark itu memang telah diduga lebih awal.
Apa pun ia memberi petanda baik kepada pasukan negara untuk mengharungi cabaran seterusnya.
``Saya gembira dengan permainan bertenaga dan meyakinkan dari Chong Wei walaupun beraksi buat kali pertama pada pusingan akhir kejohanan ini.
Apa pun, saya akan membuat post-mortem untuk perlawanan kedua menentang Thailand,'' kata Misbun.
Ditanya sama ada beliau akan menurunkan barisan yang sama untuk pertemuan menentang Thailand esok, Misbun berkata, ia belum ditentukan.
``Saya perlu menimbangkan sama ada menurunkan dua lagi pemain perseorangan - Lee Tsuen Seng dan Roslin Hashim,'' kata Misbun.
Sementara itu, Kim Hock turut berpuas hati dengan permainan Kien Keat yang menurutnya tidak langsung gementar atau terganggu tumpuannya ketika bergandingan dengan Choon Eng, meskipun stadium agak penuh dengan penonton Indonesia yang bersorak memberi sokongan kepada pasukan mereka yang memulakan cabaran dalam Piala Uber menentang China.
``Dia beraksi dengan tenang meskipun ada sedikit kesilapan terutama ketika mengambil bola di belakang, meskipun menyedari gandingannya berada di belakang,'' katanya. - Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan