Ahad, 2 April 2017

Badminton persahabatan Cabaran Transnasional - Malaysia 3 Korea 0



ARKIB : 06/07/2003

Oleh Norzie Mohd. Khasbi
 
PASUKAN lelaki negara meraikan kejayaan muncul juara keseluruhan Cabaran Transnasional dengan menundukkan Korea Selatan 3-0 dalam tiga siri perlawanan. Malaysia menang 3-2 pada pertemuan terakhir di Stadium KLBA, Cheras semalam. - Gambar RAJA JAAFAR ALI.

MALAYSIA yang sudahpun mengesahkan kejuaraan lebih awal melengkapkan kemenangan 3-0 ke atas Korea Selatan dalam tiga siri perlawanan badminton persahabatan Cabaran Jemputan Transnasional di Stadium KLBA, Cheras semalam.

Selepas menang 4-1 pada dua pertemuan terdahulu di Alor Star dan Kota Bharu, pasukan lelaki negara mengekalkan rekod tanpa kalah dengan menewaskan Korea 3-2 dalam perlawanan terakhir kedua-dua pasukan.

Namun begitu, ketika pemain-pemain perseorangan memenangi semua sembilan perlawanan mereka, beregu negara pula terus beraksi buruk dengan mengalami kekalahan keempat daripada enam perlawanan.

Tambah mengejutkan, Malaysia tidak menurunkan beregu terbaik, sebaliknya menggandingkan Choong Tan Fook dengan Chan Chong Ming dan menurunkan pasangan muda, Hong Chieng Hun-Lin Woon Fui sebagai beregu kedua.

Korea yang seperti juga pasukan negara menggunakan siri persahabatan ini sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Birmingham hujung bulan ini, menurunkan beregu nombor satu dunia, Ha Tae-kwon-Kim Dong-moon, manakala Lee Dong-soo berpasangan dengan Lee Jae Jin.

Wakil negara ke Birmingham, Lee Tsuen Seng mempamer aksi agak mengecewakan, sekalipun masih mampu mencatat kemenangan 15-7, 17-15 ke atas pemain remaja Korea, Park Sun Hwan untuk memberi mata pertama Malaysia.

Menggandingkan Tan Fook-Chong Ming dianggap satu eksperimen dan strategi jangka panjang buat jurulatih, Yap Kim Hock, namun pasangan bidan terjun itu menghampakan apabila tewas straight-set 10-15, 11-15 kepada Tae-kwon-Dong Moon bagi membolehkan Korea menyamakan kedudukan 1-1.

Mohd. Roslin Hashim yang mendapat tiket Kejohanan Dunia pada saat-saat akhir diberi tentangan sengit oleh pemain nombor 14 dunia, Shon Sheung-mo sebelum menang 15-11, 12-15, 15-10 untuk kembali meletakkan Malaysia di depan 2-1.

Kim Hock sekali lagi dianggap melakukan kesilapan apabila menurunkan pasangan muda yang tidak beraksi di Birmingham, Hong Chieng Hun-Lin Woon Fui untuk menentang Dong-soo-Jae-Jin dan akibatnya, pasangan negara itu tewas mudah 13-15, 5-15.

Pemain nombor satu negara, Wong Choong Hann memastikan rekod tanpa kalah Malaysia berjaya dikekalkan dengan mengalahkan pemain utama Korea, Lee Hyun Il, kemenangan keduanya ke atas pemain itu dalam tempoh seminggu selepas turut menang di Alor Star.

``Saya sudah menguji Tan Fook-Wan Wah dan Chong Ming-(Chew) Choon Eng di Alor Star dan ia mencukupi. Korea juga tidak menurunkan beregu terbaiknya pada dua pertemuan, malah tidak membawa Yoo Yong-sung. Ha Tae-kwon pula hanya diturunkan hari ini,'' kata Kim Hock.

Menurut Kim Hock, menggandingkan Tan Fook-Chong Ming dan Lee Wan Wah-Choon Eng (di Kota Bharu) memberikan peluang kepadanya untuk mencari keserasian andai dia terpaksa membuat rombakan gandingan jika berlaku masalah kecederaan.

Sementara itu ketua jurulatih perseorangan, Misbun Sidek berkata, keseluruhannya pemain perseorangan menunjukkan aksi baik sepanjang perlawanan ini tetapi masih ada ruang yang perlu diperbaiki terutama Tsuen Seng.

Dalam saingan wanita, Korea Selatan, naib juara Piala Uber melengkapkan kemenangan 3-0 ke atas Malaysia dengan membelasah pasukan negara 5-0 dalam perlawanan terakhir semalam.

Selaku juara, pasukan lelaki negara dan wanita Korea menerima AS$7,500 (RM28,000), manakala naib juara masing-masing membawa pulang AS$2,500 (RM9,500).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4d59eKMgF
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan