Sabtu, 8 April 2017

Choong mara lagi



ARKIB : 15/11/2003
BEREGU nombor satu negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah terus cemerlang pada kejohanan badminton Terbuka China bernilai AS$250,000 (RM950,000) apabila melangkah ke separuh akhir dengan menyingkirkan pasangan handalan Korea Selatan, Ha Tae-kwon-Kim Dong-moon di Gimnasium Tianhe, Guangzhou semalam.

Cabaran Malaysia turut diteruskan oleh penyandang juara dan perseorangan utamanya, Wong Choong Hann yang bagaimanapun dipaksa berhempas pulas untuk menundukkan pemain muda tuan rumah, Chen Yu 15-4, 8-15, 15-8 di suku akhir.

Selepas menumbangkan beregu utama Indonesia, Flandi Limpele-Eng Hian di pusingan ketiga kelmarin, Tan Fook-Wan Wah membuktikan kehebatan mereka dengan menundukkan pasangan nombor tiga dunia, Tae-kwon-Dong-moon 15-12, 15-11.

Kemenangan ini sekaligus menebus kekalahan mereka kepada beregu Korea itu di pusingan pertama Terbuka Taiwan, minggu lalu.

Tan Fook-Wan Wah, yang turun dengan status bukan pilihan kini akan berdepan beregu tuan rumah, Cheng Rui-Wang Wei dalam saingan separuh akhir hari ini.

Pasangan negara itu memegang rekod yang lebih baik ke atas Cheng dan Wang termasuk memenangi kedua-dua pertemuan mereka tahun ini, 6-15, 15-4, 15-2 di pusingan ketiga Terbuka Malaysia serta 15-13, 15-13 pada pusingan awal Seluruh England.

Choong Hann, 26, yang masih segar dengan kejuaraan Terbuka Taiwan minggu lalu akan berdepan bekas pemain nombor satu dunia, Peter Gade-Christensen dari Denmark dalam saingan separuh akhir.

Gade-Christensen yang mengejutkan pemain nombor satu dunia, Chen Hong dari China pada pusingan ketiga, tewas 13-15, 10-15 dalam pertemuan terakhir menentang Choong Hann di Taiwan, minggu lalu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4dhg52tZO
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan