Selasa, 4 April 2017

Choong Hann, Hafiz bersemuka



ARKIB : 28/08/2003
PEMAIN perseorangan utama lelaki Malaysia Wong Choong Hann dijangka bertemu juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim pada pusingan ketiga Terbuka Malaysia, yang bertaraf empat bintang, di Stadium Likas, Sabah pada 2 hingga 7 September ini.

Dalam undian yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF), pemenang pingat perak kejohanan dunia itu akan bertemu pemain yang layak ke pusingan pertama pada kejohanan ini sebelum bertemu Andrew Smith dari England pada pusingan kedua.

Hafiz pula akan bertemu dua pemain Hong Kong pada pusingan pertama dan kedua. Pada pusingan pertama dia akan bertemu pilihan ke-11, Agus Hariyanto manakala Yohan Hadikusumo akan menunggunya di pusingan kedua.

Peluang menyaksikan kedua-dua pemain perseorangan ternama itu bertemu adalah cerah kerana Choong Hann dan Hafiz, mempunyai kelebihan ke atas lawan masing-masing.

Pemain ketiga negara, Lee Tsuen Seng akan bertemu pemain dari pusingan kelayakan sebelum bertemu Peter Rasmussen dari Denmark, yang juga pilihan 16. Pemain Denmark itu akan bertemu seorang lagi pemain Malaysia, Kuan Beng Hong pada pusingan pertama.

Mohd. Roslin Hashim, pilihan ke-15, akan bertemu juara kebangsaan Lee Chong Wei pada pusingan kedua jika menewaskan lawan masing-masing di pusingan pertama.

Roslin akan bertemu Rony Agustinus dari Indonesia manakala Chong Wei akan bertarung dengan lagi pemain yang melayakkan diri.

Dalam beregu lelaki, Chew Choon Eng/Chan Chong Ming akan bertemu lawan yang sukar pada pusingan pertama. Mereka akan bertemua pasangan Korea Yim Bang Eun/Kim Yong Hyun dalam pusingan pertama sebelum bertemu juara beregu dunia Lars Paaske/Jonas Rasmussen dari Denmark pada pusingan kedua.

Beregu veteran Choong Tan Fook/Lee Wan Wah dijangka mara dengan mudah ke pusingan ketiga dan akan bertemu pasangan Amerika dan Perancis pada dua pusingan pertama.

Bagaimanapun pasangan itu akan bertemu lawan sebenar pada pasangan Indonesia di pusingan ketiga yang menunggu mereka ialah pilihan kedua Flandi Limpele/Eng Hain atau Candra Wijaya/Halim Haryanto.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dIJDesYH
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan