Jumaat, 7 April 2017

Terbuka Denmark - Choong Hann, Roslin tewas



ARKIB : 28/09/2003

NAIB juara dunia, Wong Choong Hann dan Muhd. Roslin Hashim gagal meneruskan cabaran ke perlawanan akhir apabila tewas kepada lawan masing-masing dalam Kejohanan Badminton Terbuka Denmark di Aarhus Arena, Aarhus, semalam.

Choong Hann tewas kepada Lin Dan 15-13, 11-15, 1-15 manakala Roslin kalah kepada Chen Yu 15-5, 15-7 dalam saingan separuh akhir.

Sebelum itu, dia yang masih memburu kejuaraan pertama sejak memenangi Terbuka China akhir tahun lepas mara ke separuh akhir setelah memperoleh kemenangan percuma daripada pemain pilihan pertama kejohanan, Chen Hong.

Bagaimanapun Choong Hann telah memenangi set pertama 15-6 sebelum Chen Hong yang memburu kejuaraan keempatnya berturut-turut setelah menang di Terbuka Singapura, Terbuka Indonesia dan Terbuka Malaysia mengambil keputusan menarik diri kerana tangan kanannya membengkak.

Choong Hann akan bertemu seorang lagi pemain China, Lin Dan yang turut mara setelah menumpaskan Peter Gade Christensen dari Denmark 15-8, 15-6.

Roslin pula mara setelah menumpaskan rakan senegara yang juga naib juara Terbuka Malaysia, Lee Chong Wei 15-12, 15-11.

Pemain Nusa Mahsuri itu juga akan bertemu seorang lagi pemain China, Chen Yu yang mengakhiri cabaran Shon Seung Mo dari Korea Selatan, 15-4, 3-15, 15-8.

Sementara itu, dalam kategori perseorangan wanita, pemain tuan rumah Camilla Martin meneruskan cabaran Denmark apabila mara ke separuh akhir.

Martin mara setelah menewaskan Wang Cheng dari Hong Kong 11-9, 11-1 sementara tiga lagi tempat di separuh akhir diisi pemain China - Zhang Ning, Gong Ruina dan Zhou Mi.

Zhang mara setelah menewaskan pemain Sweden, Marina Andrievskaia 11-4, 11-5 sementara Ruina menyingkirkan Tracey Hallam dari England 11-13, 11-3, 11-6.

Zhou Mi pula menamatkan cabaran bekas pemain Indonesia yang kini mewakili Belanda, Mia Audina 11-9, 11-4.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4daMjG5Uv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan