Ahad, 9 April 2017

Choong Hann dalam kelompok terbaik



ARKIB : 11/01/2004
HANYA pemain nombor satu negara, Wong Choong Hann, Mohd. Roslin Hashim dan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah berada pada senarai 16 terbaik dunia, kedudukan yang memberi tiket automatik ke Sukan Olimpik selepas Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) mengumumkan ranking pertama untuk tahun 2004, kelmarin.

Senarai akhir pemain yang layak beraksi pada temasya di Athens, 14-21 Ogos ini bagaimanapun hanya akan diketahui berdasarkan ranking IBF bertarikh 1 Mei, 2004.

IBF, dalam satu kenyataan semalam berkata, ranking terbaru itu sekadar memberi sedikit bayangan siapa bakal beraksi pada Sukan Olimpik. Begitupun, mereka menjangkakan perubahan akan terus berlaku sehingga tarikh akhir kelayakan, 30 April ini.

Walaupun 16 pemain terbaik dunia pada ranking 1 Mei layak beraksi dalam lima kategori - perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran, namun setiap negara hanya boleh memiliki maksimum tiga wakil bagi setiap acara.

Sekiranya terdapat lebih tiga pemain dari negara yang sama berada pada kedudukan 16 terbaik, kuota mereka akan diisi oleh pemain negara lain yang berada di antara ranking 17 hingga 64.

Dalam ranking sulung 2004, Choong Hann yang masih segar dengan kejuaraan Copenhagen Masters berada pada kedudukan kelima dunia.

Dua pemain China, Chen Hong dan Lin Dan menguasai dua tempat teratas, diikuti Lee Hyun Il dari Korea dan juara dunia, Xia Xuanze juga dari China.

Roslin, 29, berada pada ranking ke-16. Juara Seluruh England, Muhd. Hafiz Hashim dan jaguh muda negara, Lee Chong Wei berada di luar kelompok 16 terbaik apabila masing-masing di tangga ke-18 dan 20 dunia.

Pasangan nombor satu negara, Tan Fook-Wan Wah berada di ranking kelima dunia. Lars Paaske-Jonas Ramussen dari Denmark masih menguasai kedudukan teratas, diikuti beregu Korea, Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung dan seorang lagi pasangan Denmark, Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen.

Harapan untuk menyaksikan satu lagi pasangan negara, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng layak ke Athens tampak kelam selepas berada pada ranking ke-45.

Begitupun Chong Ming, yang mengisytiharkan pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu pada hujung bulan ini berpeluang memperbaiki kedudukan dalam tempoh empat bulan.

Menurut IBF, semua kejohanan bertaraf Terbuka yang menawarkan AS$10,000 (RM38,000) ke atas sehingga 30 April akan diambil kira sebagai sesi kelayakan, begitu kejohanan peringkat benua dan kelayakan Piala Thomas.

Seramai 29 pemain akan beraksi dalam perseorangan lelaki dan wanita, manakala 19 pasangan akan berentap dalam beregu lelaki, wanita dan campuran.

Pada temasya Sydney 2000, yang menyaksikan Malaysia gagal merangkul sebarang pingat, Choong Hann dan Ong Ewe Hock menggalas cabaran perseorangan, manakala beregu dibarisi Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock dan Tan Fook-Wan Wah.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4djYgQgVB
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan