Sabtu, 8 April 2017

Hafiz kena tunggu



 ARKIB : 15/11/2003
KEPUTUSAN sama ada juara Seluruh England, Mohd. Hafiz Hashim akan beraksi pada Sukan SEA di Vietnam bulan depan akan dibuat Isnin ini.

Ketua jurulatih badminton negara, Misbun Sidek berkata, beliau mahu menunggu laporan rasmi daripada Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Dr. Ramlan Aziz sebelum membuat sebarang keputusan.

``Dr Ramlan memang telah memaklumkan kepada saya secara lisan mengenai keadaan Hafiz, tetapi akan menunggu keputusan rasmi sebelum membuat sebarang keputusan,'' katanya yang dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Mengenai peluang Hafiz untuk menyertai temasya dwi tahunan itu, Misbun berkata, ianya masih terbuka kerana masih ada tempoh tiga minggu lagi.

``Peluang untuk Hafiz ke Vietnam masih terbuka tetapi keputusan ini akan saya buat setelah menerima laporan rasmi daripada Dr. Ramlan.

``Apa pun saya tidak bimbang kerana kita ada tiga pemain perseorangan yang boleh dipertaruhkan di samping dua pemain simpanan.

``Apa yang ingin saya ketahui sekarang adalah sama ada MOM (Majlis Olimpik Malaysia) boleh menerima pertukaran ini,'' katanya.

Dua pemain muda, Lee Chong Wei dan Yeoh Kay Bin merupakan antara nama yang disebut-sebut bagi mengisi kekosongan itu.

Mengenai keadaan Hafiz yang terpaksa tidak memegang raket buat beberapa minggu, Misbun berkata, keadaan itu sebenarnya memberi kebaikan kerana beliau boleh menumpukan kepada meningkatkan kepantasan pergerakan kaki anak didiknya itu.

``Dari segi skil Hafiz sudah mantap tetapi pergerakan kakinya agak perlahan. Saya cuba untuk memperbaiki keadaan ini tetapi oleh kerana jadual pertandingan yang agak ketat, ia masih belum dapat dijalankan,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1115&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dheBUrEE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan