Sabtu, 8 April 2017

Chong Wei ganti tempat Hafiz



ARKIB : 18/11/2003

Oleh SRY ANGRENI MOHD ZET


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) akhirnya mengambil keputusan menggugurkan juara Seluruh England, Muhd. Hafiz Hashim daripada skuad Sukan SEA dan digantikan dengan Lee Chong Wei untuk beraksi di Ho Chi Minh, bulan depan.

Pengurus Besarnya, Gangga Rao berkata, berdasarkan nasihat dan laporan perubatan yang diterima daripada Institut Sukan Negara (ISN), badan induk itu bersetuju merehatkan Hafiz untuk mempercepatkan pemulihannya.

``Kami telah menerima laporan rasmi daripada pengarah ISN, Dr. Ramlan Aziz yang mencadangkan agar Hafiz direhatkan untuk sehingga di pulih sepenuhnya.

``Berdasarkan laporan itu Hafiz memerlukan tempoh tiga hingga lima minggu untuk pulih,'' katanya yang dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan ketua jurulatih badminton negara, Misbun Sidek minggu lepas yang memaklumkan kedudukan Hafiz hanya akan diumumkan awal minggu ini.

BAM sebelum ini mempunyai dua pilihan pemain sama ada memilih naib juara Terbuka Malaysia, Chong Wei ataupun Yeoh Kay Bin yang turut mempamerkan peningkatan prestasi.

Namun prestasi konsisten Chong Wei dengan pencapaian terbaik mara ke akhir Terbuka Malaysia menjadi pilihan untuk memikul tugas merealisasikan sasaran dua pingat emas seperti yang diperoleh pada temasya Kuala Lumpur dua tahun lalu.

``Prestasi Chong Wei begitu konsisten terutama selepas muncul Naib Juara Terbuka Malaysia. Malah dia memberi persaingan sengit kepada juara dunia, Xia Xuenze di Terbuka China baru-baru ini,'' katanya.

Pada perlawanan pusingan ketika itu, Chong Wei tewas kepada Xuenze 17-6, 15-10, 12-15.

Gangga juga mengesahkan bahawa surat rasmi mengenai pertukaran itu telah dihantar ke Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk tindakan selanjutnya.

BAM menghantar barisan terkuat untuk mempertahankan pencapaian dua pingat emas dengan menurunkan juara Terbuka Taiwan, Wong Choong Hann, Muhd Roslin Hashim Lee Tsuen Seng dan Chong Wei untuk perseorangan lelaki.

Beregu pula terdiri daripada Chang Kim Wai, Chew Choon Eng, Lee Wan Wah dan Choong Tan Fook sementara barisan wanita menyenaraikan Wong Mew Choo (perseorangan), Chan Eei Hui dan Wong Pei Tty.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dhoSLYho
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan