Sabtu, 8 April 2017

Choong Hann juara



ARKIB : 10/11/2003
Wong Choong Hann.

JAGUH perseorangan negara, Wong Choong Hann menamatkan kemarau gelaran dengan merangkul kejuaraan pertamanya tahun ini pada kejohanan badminton Terbuka Taiwan di Taiwan National University, semalam.

Naib juara dunia itu bagaimanapun dipaksa mengharungi pertarungan mendebarkan termasuk kalah di set pertama sebelum bangkit menundukkan juara Asia, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia 3-15, 15-7, 15-4.

Ini merupakan kejuaraan antarabangsa pertama buat pemain nombor satu negara itu sejak menjuarai Terbuka China pada Disember tahun lalu.

Kejayaan menjuarai kejohanan empat bintang bernilai AS$120,000 (RM456,000) itu membolehkan Choong Hann membawa pulang AS$9,000 (RM34,200).

Kemenangan tersebut juga melebarkan rekod kemenangannya kepada 4-1 ke atas Sony, sekaligus meningkatkan keyakinan pemain negara itu yang akan turun mempertahankan gelaran Terbuka China, minggu ini.

``Saya agak tertekan pada set pertama. Kerana cuba membawa gerakan lawan saya nyaris terperangkap dengan permainan seperti itu,'' kata Choong Hann ketika dihubungi di Taiwan.

``Bagaimanapun saya bernasib baik bangkit pada set kedua. Permainan ke baseline nyata memerangkap pergerakan Sony, malah dia membuka lebih banyak ruang kepada saya untuk mengutip mata.''

Pada Terbuka China minggu depan, Choong Hann diletakkan sebagai pilihan keempat, namun dia bakal berdepan kesukaran untuk mempertahankan gelaran kerana akan dicabar oleh pemain-pemain handalan tuan rumah termasuk pemain nombor satu dunia, Chen Hong.

``Terbuka Taiwan dan China sama sekali tidak sama. Saya tidak menafikan ketiadaan pemain China di sini melancarkan lagi permainan saya, namun saya sudah bersedia untuk mengulangi persembahan yang baik di China.''

Sementara itu dalam beregu lelaki, pasangan nombor satu Korea Selatan, Hae Tae-kwon-Kim Dong-moon merangkul kejuaraan keempat tahun ini selepas menumpaskan beregu Indonesia, Flandy Limpele-Eng Hian 15-4, 15-1 dalam perlawanan akhir.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1110&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dejbi9Qu
© Utusan Melayu (M) Bh

Tiada ulasan:

Catat Ulasan