Isnin, 24 April 2017

Choong Hann pilihan ketiga

ARKIB : 23/07/2004
HANYA naib juara dunia, Wong Choong Hann dan pasangan veteran, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah menerima status pilihan pada Sukan Olimpik bulan depan, sekaligus menjadikan ketiga-tiganya sebagai pertaruhan terbaik untuk meraih pingat di Athens.
Berdasarkan kedudukan pilihan yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Antarabangsa semalam, China diletak sebagai pilihan utama untuk memenangi sekurang-kurangnya tiga pingat emas - perseorangan lelaki dan wanita serta beregu wanita.
Walaupun sekadar kedudukan pilihan, namun ia dianggap penting kerana senarai tersebut bakal mempengaruhi undian pemain yang akan dikeluarkan seminggu sebelum Olimpik bermula, 13-29 Ogos ini.
Ketiadaan juara dunia, Xia Xuanze yang tidak pernah dikalahkan oleh Choong Hann mungkin sedikit melegakan, namun perseorangan utama negara itu tidak harus melupakan tiga lagi pemain China yang menguasai empat kedudukan teratas.
Pemain nombor satu dunia dan juara Seluruh England, Lin Dan menjadi pilihan pertama, diikuti oleh rakan senegaranya, Chen Hong. Choong Hann pula berada pada kedudukan ketiga dan diekori oleh seorang lagi pemain China, Bao Chunlai, keempat.
Dua lagi perseorangan negara yang memikul cabaran Olimpik adalah juara Terbuka Malaysia, Lee Chong Wei dan Mohd. Roslin Hashim, kedua-duanya tidak menerima status pilihan tetapi menduduki rangking ke-12 dan 14 dunia.
Tan Fook-Wan Wah pula diletak sebagai pilihan keempat, sama dengan status yang diterima di Sydney empat tahun lalu ketika pulang tanpa sebarang pingat selepas kalah kepada beregu Korea Selatan, Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung 12-15, 15-7, 4-15 di separuh akhir.
Mengetuai cabaran beregu adalah juara dunia, Lars Paaske-Jonas Rasmussen dari Denmark, diikuti Fu Haifeng-Cai Yun dari China dan beregu berpengalaman Korea, Ha Tae Kwon-Kim Dong Moon, pilihan ketiga.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan