Sabtu, 8 April 2017

Choong Hann idam emas Olimpik



ARKIB : 01/01/2004

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA

WONG CHOONG HANN (tengah) disambut oleh Mohd. Nadzmi Salleh dan Gangga Rao setibanya dari Copenhagen, Denmark di KLIA, semalam.

TIADA yang mustahil. Itulah yang ditegaskan oleh Wong Choong Hann, sekembalinya dari Denmark, semalam selepas menjuarai kejohanan badminton Copenhagen Masters.

Katanya, dia mahu menjadi atlet pertama negara meraih pingat emas pada Sukan Olimpik dan impian itu akan dilakukannya di Athens pada Ogos depan.

``Saya berharap, kejayaan yang diperoleh di Denmark ini akan menjadikan saya lebih bersemangat untuk menyumbang pingat emas di Olimpik. Harapan rakyat Malaysia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan saya cuba tunaikan di Athens,'' katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Choong Hann tiba di KLIA semalam bersama-sama pemain beregu, Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah serta Lee Chong Wei dan disambut oleh Presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh dan Pengurus Besar BAM, Gangga Rao.

Choong Hann meraih gelaran juara Copenhagen Masters selepas menundukkan pemain tuan rumah, Kenneth Jonassen dengan straight set, 15-7, 15-10.

Sebelum ini dia menjuarai Terbuka Korea Selatan dan kini menduduki ranking keenam dunia dalam senarai Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF).

Menurutnya lagi, walaupun tumpuan untuk meraih pingat emas di temasya Olimpik, beliau tetap memberikan keutamaan kepada Piala Thomas.

``Saya akan berusaha memantapkan diri untuk menghadapi Sukan Olimpik, selain persediaan pada Piala Thomas,'' jelasnya.

Mengulas kejayaannya di Copenhagen, Choong Hann berkata: ``Saya gembira dengan prestasi sepanjang tahun 2003 walaupun kecewa kerana tewas di Terbuka China dan Sukan SEA XXII Vietnam.''

``Biarpun Copenhagen Masters tidak memberi sebarang mata pada kedudukan ranking dunia, kemenangan yang diraih sedikit sebanyak memberi impak kepada diri saya,'' tambahnya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dj67mPao
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan