Isnin, 24 April 2017

Beregu Malaysia nombor dua dunia

ARKIB : 10/07/2004
BEREGU utama negara, Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah yang menjuarai Terbuka Malaysia di Kuantan lima hari lepas, berpeluang cerah untuk membawa balik pingat pada temasya Sukan Olimpik di Athens bulan depan.
Tan Fook-Wan Wah kini menduduki tangga kedua ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) dan kemungkinan besar akan diletakkan sebagai pilihan kedua dalam acara badminton Olimpik.
Memandangkan Terbuka Malaysia adalah kejohanan terakhir sebelum bermulanya sukan itu pada 13 Ogos (hingga 29 Ogos) ini, kedudukan ranking itu bakal kekal.
Pada Sukan Olimpik di Sydney empat tahun lepas, Tan Fook-Wan Wah terkandas di separuh akhir . Mereka juga kalah dalam persaingan merebut pingat gangsa
Kejohanan di Kuantan menyaksikan pasangan itu meraih kemenangan pertama Grand Prix dunia selepas lima tahun dan 420 mata yang diperoleh membawa mata terkumpul mereka kepada 3,463 mata daripada 10 kejohanan. Mereka ketinggalan 118 mata sahaja di belakang juara dunia, Lars Paaske dan Jonas Rasmussen dari Denmark yang menarik diri daripada kejohanan di Kuantan pada saat-saat akhir.
Sementara itu, beregu kedua Malaysia, Chan Chong Ming dan Chew Choon Eng yang turut layak ke Athens, juga membaiki kedudukan dalam ranking apabila naik dari tempat ke-19 kepada 17.
Pasangan yang pernah menduduki ranking pertama dunia itu tewas dalam pusingan kedua di Kuantan.
Juara perseorangan Terbuka Malaysia, Lee Chong Wei naik tiga tangga ke tempat ke-12 manakala Wong Choong Hann kekal sebagai pemain terbaik negara di tempat ketiga.
Roslin Hashim yang kalah kepada Bao Chunlai dari China pada pusingan ketiga berada di tempat ke-14 manakala adiknya Hafiz di tangga ke-23.
Choong Hann diapit empat pemain China dengan Lin Dan di tempat pertama dan Chen Hong di tempat kedua manakala tempat keempat disandang oleh Chunlai yang diikuti Xia Xuanze.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan