Rabu, 5 April 2017

Beregu mara



ARKIB : 30/08/2003

Oleh Fauzi Jaafar

BATAM - Pasangan beregu utama negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah menceriakan kem Malaysia apabila menjadi satu-satunya wakil negara layak ke separuh akhir Terbuka Indonesia di sini, semalam.

Pasangan veteran itu menewaskan beregu China, Fu Haifeng-Cai Yun dengan straight set, 15-8, 15-4 dalam perlawanan di Stadium Tertutup Temenggung Abdul Jamal itu.

Pasangan negara itu mengambil masa kurang dari setengah jam bagi memburu hadiah wang tunai AS$170,000 (RM646,000) yang ditawarkan pada kejohanan ini.

Dengan kemenangan itu, Tan Fook-Wan Wah akan bertemu dengan satu lagi beregu dari China, Sang Yang-Zhang Bo di separuh akhir hari ini.

Sementara itu, satu lagi pasangan beregu negara, Chew Choon Eng-Chan Chong Ming dirundung malang apabila gagal ke separuh akhir selepas tewas kepada beregu utama Thailand, Pramote Teerawiwatana dan Tesana Panvisvas.

Nyata Choon Eng dan Chong Ming gagal menyaingi kehebatan beregu Thailand apabila tewas mudah dengan 5-15, 5-15.

Terdahulu dalam acara perseorangan, Lee Tsuen Seng turut gagal mara ke separuh akhir apabila tumpas kepada pemain tuan rumah, Taufik Hidayat di suku akhir, semalam.

Tsuen Seng, satu-satunya pemain perseorangan negara melangkah ke suku akhir kejohanan bertaraf lima bintang itu tewas mudah dengan straight set 3-15, 6-15.

Taufik ternyata bijak mengambil kesempatan di sebalik kelemahan Tsuen Seng itu dengan menggunakan pukulan-pukulan smash kencang untuk melemahkannya.

Kekalahan Tsuen Seng gagal menebus kekecewaan Malaysia selepas kekalahan Muhammad Hafiz dan Mohd Roslin Hashim kelmarin.

Tsuen Seng yang ditemui selepas perlawanan itu mengakui kesilapan strategi iaitu mengamalkan corak bertahan telah menyebabkan dia dikalahkan dengan mudah.

``Sepatutnya saya lebih banyak bermain di jaring kerana Taufik mendapat mata di sebalik kegagalan saya membalas kembali bulu tangkis dijaring.

``Tetapi di dalam mencari strategi terbaik itu, Taufik jelas telah membaca pergerakan saya di gelanggang,'' katanya.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0830&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dMa4Bck2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan