Sabtu, 15 April 2017

Hafiz gagal pertahan gelaran

ARKIB : 13/03/2004
BIRMINGHAM, England - Mohd. Roslin Hashim merupakan satu-satunya pemain perseorangan lelaki Malaysia yang mara ke peringkat suku akhir manakala adiknya, Muhammad Hafiz gagal mempertahankan kejuaraan badminton Seluruh England di National Indoor arena, kelmarin.
Roslin, pemain pilihan ke-15, bagaimanapun dipaksa bermain dalam set penentuan oleh lawannya, Kenneth Jonassen dari Denmark sebelum layak ke suku akhir yang akan berlangsung awal pagi Sabtu waktu Malaysia.
Selepas tewas pada set pertama 7-15, pemain Nusa Mahsuri itu mengutip mata demi mata selepas ketinggalan 5-14 pada set kedua.
Dia kemudian menyamakan kedudukan 14-14 untuk deuce tiga dan mengutip tiga mata berturut-turut untuk menamatkan perlawanan dengan keputusan 17-14.
Dalam set penentuan, Jonassen meninggalkan pemain Malaysia itu 5-7, 7-9, 9-10 sebelum Roslin menyamakan kedudukan pada 11-11.
Setelah ketinggalan sekali lagi pada kedudukan 11-14, pemain kelahiran Kelantan itu berjaya mengutip tiga mata berturut-turut bagi menyamakan kedudukan sebelum Jonassen gagal mengembalikan `drop-shot' daripada Roslin dan menamatkan perlawanan dengan keputusan 15-14.
Roslin dijadual bertemu pilihan ke-12, Peter Gade dari Denmark pada suku akhir. Pemain Denmark itu menewaskan pilihan ketiga, Chen Hong (China) 15-13, 11-15, 15-8.
Sementara itu, Hafiz yang tidak diletakkan sebagai pilihan pada kejohanan ini tewas mudah 9-15, 8-15 kepada seorang lagi pemain Denmark, Anders Boesen.
Juara Seluruh England 2003 itu yang memakai dua lapis baju T kerana kesejukan di dalam dan luar dewan, kelihatan kaku dan gagal mempamerkan permainan biasanya.
``Saya tidak sihat sejak semalam. Mungkin cuaca di sini terlalu sejuk. Ia menyekat pergerakan saya.
``Memang sedih kerana hilang kejuaraan namun badan saya tidak berada dalam keadaan yang sihat untuk mengekalkan kejuaraan berprestij ini,'' kata Hafiz.
Pasangan veteran Choong Tan Fook/Lee Wan Wah menewaskan Anthony Clark/Nathan Robertson dari England dengan 2-15, 15-5, 17-15.
Pasangan England itu menumpaskan pasangan muda Malaysia Gan Teik Chai/Koo Kien Keat 11-15, 15-9, 15-9 dalam perlawanan terdahulu.
Selepas tewas set pertama dengan mudah, Tan Fook/Wan Wah kembali menyengat dan menewaskan pasangan England itu 15-5 pada set kedua.
Dalam set penentuan, Tan Fook/Wan Wah ketinggalan 1-8 sebelum mengejar dengan mengutip mata demi mata sehingga terikat pada kedudukan 14-14.
Pasangan Malaysia itu kemudiannya berjaya mengutip tiga mata berturut-turut untuk menang 17-15.
Dalam suku akhir, Tan Fook/Wan Wah akan bertemu Cai Yun/Fi Haifeng dari China yang sebelum itu menewaskan Keita Masuda/Tadashi Ohtsuka dari Jepun 15-5, 15-5.
Bagi perseorangan wanita, Wong Mew Choo gagal mara ke suku akhir apabila tewas kepada pemain kelahiran Indonesia Mia Audina Tjiptawan yang mewakili Belanda dengan keputusan 3-11, 8-11. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan