Selasa, 25 April 2017

Tan Fook, Wan Wah lepasi ranjau pusingan kedua

ARKIB : 17/08/2004
ATHENS - Pasangan harapan negara untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik, Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah melepasi halangan awal dengan menundukkan beregu Thailand, Pramote Teerawiwatana dan Tesana Panvisvas pada pusingan kedua acara beregu lelaki badminton Sukan Olimpik di sini, semalam.
Beraksi selaku beregu nombor satu dunia mengikut ranking terbaru Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF) dan diletakkan sebagai pilihan keempat di sini, Tan Fook dan Wan Wah menang 15-10, 15-13 untuk melangkah ke pusingan ketiga. Pasangan Malaysia ini mendapat bye di pusingan pertama.
Menanti mereka pada pusingan 16 terakhir itu nanti ialah pasangan bukan pilihan, Lee Dong Soo dan Yoo Yong Sung dengan rekod pertemuan menyebelahi pasangan dari Korea Selatan itu.
Dong Soo dan Yong Sung semalam menumpaskan pilihan ketujuh, pasangan Indonesia, Luluk Hadiyanto dan Yulianto Alven.
Melihat aksi mereka menentang pasangan Thailand semalam, Wan Wah dan Tan Fook dijangka berpeluang untuk mara lebih jauh walaupun rekod pertemuan memihak kepada Dong Soo dan Yong Sung, yang menang lima daripada enam pertemuan di antara kedua-duanya. Selepas menang 15-10 pada set pertama, pasangan Malaysia itu mendapat tentangan yang hampir memaksa permainan rubber-set apabila Teerawiwatana dan Panvisvas berjaya merapati kedudukan 13-14, meskipun Wan Wah dan Tan Fook meninggalkan jauh pasangan itu dengan mendahului 14-9.
``Mungkin kami mahu menamatkan perlawanan dengan cepat. Apapun, kami masih memenanginya. Keadaan di gelanggang agak berangin. Kami tidak banyak mengubah rentak permainan dan seronok apabila dicabar untuk setiap mata,'' kata Wan Wah.
Mengulas pertemuan menentang pasangan dari Korea itu, Wan Wah berkata, mereka mempunyai peluang yang seimbang walaupun rekod menyebelahi lawan mereka.
``Kami akan bermain secara berbeza untuk setiap perlawanan. Mungkin kami berpeluang tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam perlawanan seperti ini,'' katanya lagi.
Menurut pemain itu lagi, dia dan Tan Fook akan berusaha memberikan tumpuan untuk pertemuan dengan pasangan Korea itu.
``Tekanan tetap ada. Kami hanya perlu memberi tumpuan dan melakukan apa yang perlu ketika berdepan dengan mereka,'' kata Wan Wah.
Katanya, beraksi sebagai pasangan nombor satu dunia sudah tentu memberikan tekanan terutama apabila bersaing di peringkat tertinggi seperti Sukan Olimpik.
``Lihat apa yang berlaku kepada Lin Dan. Saya sendiri terkejut dengan kekalahannya. Dalam temasya seperti ini segalanya boleh berlaku. Kami akan berusaha mengelak apa yang berlaku ke atas pemain itu,'' katanya sambil merujuk kekalahan pemain pilihan pertama, Lin Dan kepada pemain Singapura, Ronald Susilo pada pusingan pertama acara perseorangan lelaki, kelmarin.
Malaysia gagal memenangi sebarang pingat pada Sukan Olimpik 2000 di Sydney apabila pasangan itu tewas kepada pasangan Korea, Kim Dong Moon dan Ha Tae-kwon dalam perebutan pingat gangsa. Badminton menjadi penyumbang pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik apabila Razif dan Jalani Sidek memenangi pingat gangsa sewaktu acara itu mula dipertandingkan pada temasya di Barcelona 1992 sebelum Cheah Soon KIt dan Yap Kim Hock meraih pingat perak di Atlanta 1996 dengan Rashid Sidek memenangi pingat gangsa acara perseorangan. - Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan