Ahad, 16 April 2017

Chong Hann tetap beri tentangan

ARKIB : 26/03/2004
PEMAIN badminton nombor satu negara, Wong Choong Hann akan tetap memberi saingan dalam baki tiga lagi kejohanan kelayakan Sukan Olimpik walaupun pada dasarnya dia telah pun menempah tiket ke temasya di Athens itu.
Choong Hann berkata, penyertaannya di kejohanan itu bertujuan untuk menilai prestasi dirinya berbanding pemain antarabangsa lain di samping mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang perlu diperbaiki.
``Saya tidak mahu mensia-siakan penyertaan saya di kejohanan-kejohanan ini walaupun pada ketika ini kedudukan saya agak selesa untuk ke Sukan Olimpik.
``Bagi saya, setiap kali menyertai pertandingan, saya mahu melakukan yang terbaik dan mencapai tahap tertinggi. Saya juga perlu memberi yang terbaik untuk mengetahui kedudukan saya berbanding pemain-pemain lain,'' katanya.
Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berkata demikian selepas majlis menandatangani penajaan antara dia dan UCH Technology Sdn. Bhd, sebuah syarikat pengedaran komputer di Kuala Lumpur, semalam.
Penajaan setahun itu sekali gus menjadikan Choong Hann sebagai jurucakap barangan yang diedarkan oleh syarikat tersebut untuk tempoh 2004-2005.
Mengenai peluangnya di Sukan Olimpik Ogos ini, juara Terbuka Taiwan 2003 itu berkata, ianya masih terbuka walaupun ramai pemain perseorangan China berada di kedudukan teratas ranking dunia.
``Kecuali Lin Dan (China), semua pemain China lain tidak mempamerkan prestasi yang konsisten dalam setiap kejohanan.
``Ketika ini China terlalu meletakkan harapan yang tinggi kepada Lin Dan untuk beraksi dengan baik di Piala Thomas dan Sukan Olimpik.
``Ini pastinya meletakkan tekanan kepada pemain ini,'' katanya menjelaskan perkara itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan