Selasa, 4 April 2017

Ujian perit jumpa Chen Hong - Hafiz intai peluang ke suku akhir



ARKIB : 13/08/2003
Oleh SRY ANGRENI MOHD. ZET

JUARA Kejohanan Badminton Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim mahu memastikan dia mara sekurang-kurangnya hingga ke peringkat suku akhir pada kejohanan Terbuka Singapura yang bermula minggu depan.

Hafiz berkata, Terbuka Singapura, kejohanan lima bintang yang menjadi pertandingan kedua selepas Kejohanan Dunia untuk mengumpul mata kelayakan ke Sukan Olimpik merupakan permulaan terbaik baginya menilai peluang beraksi dalam temasya terbesar di Athens itu.

``Terbuka Singapura kali ini amat penting. Saya perlu mengelakkan tersingkir pada pusingan awal buat kali keempat berturut-turut iaitu sejak selepas menjuarai Seluruh England.

``Ia adalah permulaan bagi saya menilai peluang dan kemampuan layak beraksi di Sukan Olimpik tahun depan,'' katanya Hafiz di Kuala Lumpur, semalam.

Pemain kelahiran Kelantan berusia 21 tahun itu akan bertemu pemain nombor satu dunia, Chen Hong pada pusingan pertama kejohanan lima bintang yang bernilai AS$170,000 (RM646,000).

Kali terakhir Hafiz bertemu Chen Hong di perlawanan akhir Seluruh England yang menyaksikannya muncul juara.

Walaupun mempunyai rekod pertemuan yang baik iaitu 3-1 namun Hafiz mengakui masih perlu berhati-hati dengan Chen Hong yang pastinya mahu membalas dendam kekalahan di England itu.

Dia juga mengakui laluannya untuk mara hingga ke suku akhir lebih terbuka selepas dia berjaya melepasi halangan pertemuan dengan Chen Hong.

Jika mara, Hafiz dijangka bertemu Colin Haughton dari England di pusingan kedua dan akan berdepan dengan Yohan Hadikusumo dari Hong Kong - pemain yang mengalahkannya di pusingan pertama Terbuka Korea Mac lepas.

Mengenai peluangnya pada dua kejohanan berikutnya _ Terbuka Indonesia (27-31 Ogos) dan Terbuka Malaysia (3-7 September), Hafiz berkata, dia meletakkan sasaran untuk mara hingga ke perlawanan akhir di salah satu kejohanan tersebut.

``Saya harus mempamerkan prestasi konsisten untuk layak ke Sukan Olimpik dan saya juga berharap untuk mara sehingga ke perlawanan akhir dalam satu daripada tiga kejohanan yang akan disertai,'' katanya yang tidak lagi merasakan bebanan dengan tekanan sebelum kejohanan dunia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0813&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dGyW2IYU
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan