Isnin, 3 April 2017

Choong Hann amat kecewa



ARKIB : 04/08/2003

XIA XUANZE (kanan) meraikan kejayaannya sejurus menewaskan Wong Choong Hann (kiri) pada perlawanan akhir kejohanan Badminton Dunia di Birmingham, semalam. Xuanze menang 15-6, 13-15, 15-6. - Gambar Reuters.

BIRMINGHAM, England - Melepaskan satu-satunya peluang terbaik untuk muncul juara dunia nyata mengecewakan Wong Choong Hann, apatah lagi dia gagal memberi permainan terbaik kepada penonton dalam perlawanan akhir di National Indoor Arena.

Choong Hann, 26, mengakui pengalaman beraksi dalam pentas akhir Kejohanan Dunia buat kali pertama benar-benar mendebarkannya, ditambah lagi dengan faktor bahawa dia adalah perseorangan Malaysia pertama yang melakukannya.

Biarpun mengakui mara ke perlawanan akhir adalah detik yang paling bersejarah dan manis dalam hidupnya, namun gagal memberikan aksi terbaik amat mengecewakan kerana dia sepatutnya mampu memberi tentangan yang lebih baik.

``Saya sepatutnya boleh memberi permainan lebih baik daripada hari ini,'' kata Choong Hann, yang kalah 6-15, 15-13, 6-15 dalam perlawanan yang berlangsung selama 86 minit semalam.

``Saya telah melangkah sejauh ini, saya sepatutnya mempamerkan permainan sebaik mungkin tetapi sebaliknya saya mengambil sikap untuk bermain dengan berhati-hati dan anda sudah tentu boleh nampak saya tidak agresif seperti kebiasaannya.

``Apa pun saya agak berpuas hati dengan permainan saya sepanjang minggu ini apatah lagi berjaya memenangi lima perlawanan sebelum ini tanpa melepaskan sebarang set,'' kata Choong Hann yang memenangi kesemua lima perlawanan dengan straight-set dalam laluan ke akhir.

Choong Hann percaya dia mampu mempamerkan persembahan yang lebih baik sekiranya berpeluang melangkah ke perlawanan akhir pada Kejohanan Dunia akan datang kersana sudah mempunyai pengalaman untuk melepasi saat-saat sukar itu.

Sementara itu jurulatih negara, Misbun Sidek berkata, Choong Hann sebenarnya telah melaksanakan tugasnya di Birmingham dengan baik dan tidak perlu berasa terlalu kecewa dengan kekalahan semalam.

Katanya, pemain itu sememangnya tidak diletakkan harapan yang tinggi kerana baru pulih daripada kecederaan pergelangan tangan dan melangkah ke perlawanan akhir merupakan satu pencapaian yang baik dan memuaskan.

``Dia berjaya pulih daripada kecederaan dengan begitu cepat, perkembangan itu amat menggembirakan saya,'' kata Misbun.

``Memang dia gagal memberikan permainan sebenarnya hari ini tetapi Xia Xuanze juga adalah pemain yang baik.

``Keseluruhannya tahap permainan pemain kita dan China adalah setanding.

Dalam perlawanan akhir taktik dan strategi banyak membantu menentukan kemenangan, hari ini Xuanze menang taktik dan strategi itu.'' - Utusan

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0804&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dBmYaC2C
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan