Jumaat, 21 April 2017

Misi Malaysia berakhir

ARKIB : 13/05/2004
JAKARTA - Misi Malaysia untuk merangkul kembali trofi berprestij dalam kejuaraan badminton Piala Thomas berakhir apabila tewas 3-1 kepada penyandang juara dan tuan rumah, Indonesia dalam persaingan sengit di Stadium Istora Senayan, semalam.
Kekalahan membawa makna bahawa pasukan negara kini terpaksa pulang lebih awal sambil menanti dua tahun lagi untuk kejohanan berikutnya di Tokyo, Jepun pada tahun 2006 dalam usaha mengulangi kejayaan memenanginya pada tahun 1992 di Kuala Lumpur, yang lalu.
Ini kali kedua Malaysia gagal ke separuh akhir selepas aksi mengecewakan di Kuala Lumpur pada tahun 2000. Kecuali ketika menjadi tuan rumah empat tahun yang lalu, Malaysia tidak pernah tercicir dalam saingan ke separuh akhir sejak 1988 bahkan layak ke babak akhir sebanyak enam kali termasuk dua tahun lalu di Guangzhou.
Wong Choong Hann, pemain nombor tiga dunia, yang dilihat mempunyai kelebihan dari segi pengalaman selain ranking yang lebih tinggi berbanding lawannya, Sony kelihatan sedikit gementar dan ketinggalan jauh 2-8 sebelum merapatkan jurang mata 6-8 dan mengikat kedudukan 10-10. Pemain nombor tiga dunia itu terus mendahului pada kedudukan 11-10 tetapi permainan terhenti beberapa minit pada kedudukan 13-12 apabila Sony mempersoalkan keputusan penjaga garisan dan pengadil yang tidak sehaluan.
Ketika itu, Sony memegang servis, pukulannya dikatakan masuk oleh penjaga garisan tetapi pengadil menolak dan servis dikembalikan kepada Choong Hann yang terus mengutip mata sehingga mata penamat 15-12.
Pada set kedua, Sony yang nyata kecewa dengan insiden kecil itu dan bangkit dengan mata mudah untuk mendahului 5-0. Dia melebarkan kedudukan sehingga angka 11-1 dan hanya membenarkan Choong Hann meraih satu mata sahaja sebelum melengkapkan kemenangan pada set kedua dengan 15-2 untuk memaksa permainan set penentu.
Sony terus memberikan persembahan bertenaga dengan smash tajam yang menjadi senjata utamanya pada set penentu. Ketika ketinggalan 4-5 dia mengejar dan mendahului sehingga kedudukan 13-5 dan hanya memberi Choong Hann satu mata, melengkapkan kemenangan 15-6 untuk meletakkan Indonesia 1-0 di hadapan sambil menerima sorakan hampir 10,000 penonton yang membanjiri Istora Senayan.
Pasangan veteran, Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah menggalas cabaran Malaysia berikutnya menentang pasangan muda, Luluk Hadiyanto dan Yulianto Alven. Beregu negara menang 15-12 dalam set pertama. Meninggalkan jauh lawannya pada kedudukan 7-1 dan 12-3, Tan Fook dan Wan Wah menyudahkan saingan dengan kemenangan 15-6 menjadikan kedudukan terikat 1-1.
Mohd. Roslin Hashim pula berdepan cabaran juara Asia, Taufik Hidayat. Mendahului 5-1 diawal permainan, Taufik mengejar sehingga meninggalkan lawannya 9-5 sebelum Roslin bersaing merapatinya 8-9.
Namun Taufik, yang terkenal dengan aksi cemerlangnya di tempat sendiri tidak mudah goyah dan menamatkan saingan dalam set pertama dengan kemenangan 15-10.
Mendapat sokongan padu penonton tempatan, pada saingan berikutnya, Taufik terus meninggalkan jauh Roslin dengan kedudukan dengan menamatkan permainan dengan kemenangan mudah 15-2, yang bermakna Indonesia mendahului 2-1.
Gandingan kedua Malaysia, Chew Choon Eng dan Koo Kien Keat terpaksa bermati-matian menentang beregu Indonesia, Flandi Limpela dan Eng Hian. Tewas 9-15 pada set pertama, gandingan baru Malaysia itu bangkit memenangi set kedua 15-13.
Namun, pasangan Indonesia memenangi saingan set penentu 15-12 dengan perlawanan berakhir pada pukul 12.45 pagi (waktu Malaysia) sekali gus menyaksikan Indonesia ke separuh akhir dengan kemenangan 3-1.
Terdahulu, China gagah melangkah ke separuh akhir dengan mengekalkan rekod tanpa kalah apabila menumpaskan Jepun 3-0. Dua daripada mata kemenangan mereka diperoleh menerusi pemain nombor satu dan dua dunia, Lin Dan dan Chen Hong sementara pasangan Cai Yun dan Fu Hai Feng mudah menundukkan pasangan Keita Mastuda dan Tadashi Ohtsuka 15-4, 15-5.
Lin memulakan mata pertama apabila menumpaskan Shoji Sato 15-9, 15-13 sebelum pasangan negara itu memungut mata kedua dengan Chen Hong mengesahkan kemenangan China 3-0 apabila menumpaskan Hidetaka Yamada 15-2, 15-2.
China akan bertemu Korea Selatan yang menewaskan Thailand 3-1 dalam satu lagi suku akhir semalam. Mata kemenangan Korea diperoleh menerusi pasangan Kim Dong Moon dan Kim Young Hyun yang menewaskan Sudket Prapakamol dan Patapol Ngermsrisuk 15-3, 15-11. Perseorangan pertama Korea, Lee Hyun Il tewas kepada Boonsak Polsana 16-7, 3-15 dalam aksi pertama sebelum Lee Dong Soo dan Yoo Young Sung menyamakan kedudukan dengan menewaskan Pramote Teerawiwatana dan Tesana Panvisvas 15-5, 7-15 dan 15-11 dengan Son Seung Mo menyumbangkan satu mata menerusi perseorangan kedua, menewaskan Thirayu Laohathaimongkol 15-0, 15-12.
Juara Eropah, Denmark pula melepasi halangan ke separuh akhir apabila menewaskan Jerman 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir. Kenneth Jonassen menyumbang mata pertama dengan menumpaskan Bjoern Joppien 15-9, 15-11 dengan mata kedua diraih oleh pasangan Lars Paaseke dan Jonas Rasmussen yang mudah menundukkan gandingan Ingo Kindervater dan Bjoern Siegmund 15-2, 15-5.
Begitupun Jens Roch mencuri satu mata untuk Jerman apabila menewaskan Anders Boesen 15-6, 15-3 menjadikan aksi beregu kedua sebagai penentu dengan Martin Lundgaard dan Jens Eriksen mudah menumpaskan Jochen Cassel dan Kristof Hopp 15-8, 15-7. - Utusan
KEPUTUSAN SUKU AKHIR:
PIALA THOMAS
KOREA 3 THAILAND 1
Lee Hyun Il kalah kepada Boonsak Ponsana 16-17 3-15Lee Dong Soo/Yoo Young Sung kln Pramote Teerawiwatana/Tesana Panvisvas 15-5, 7-15, 15-11Son Seung Mo kln Thirayu Laohathaimongkol 15-0, 15-12Kim Dong Moon/Kim Young Hyun kln Sudket Prapakamol/Patapol Ngermsrisuk 15-3, 15-11
MALAYSIA 1 INDONESIA 3
Wong Choong Hann kalah kepada Sony Dwi Kuncoro 15-12, 2-15, 6-15 Lee Wan Wah/Choong Tan Fook kln Luluk Hadiyanto/Yulianto Alven 15-12, 15-6.
Mohd. Roslin Hashim kalah kepada Taufik Hidayat 10-15, 2-15; Koo Kien Keat/Chew Choon Eng kalah kepada Flandy Limpele/Eng Hiang 9-15, 15-13, 12-15.
CHINA 3 JEPUN 0
Lin Dan kln Shoji Sato 15-9, 15-13Cai Yun/Fung Hai Feng kln Keita Masuda/Tadashi Ohtsuka 15-4, 15-5Chen Hong kln Hidetaka Yamada 15-2, 15-2
DENMARK 3 JERMAN 1
Kenneth Jonassen kln Bjoern Joppien 15-9, 15-11Lars Paaske/ Jonas Rasmussen kln Ingo Kindervater/Bjoern Siegemund 15-2, 15-5. Anders Boesen kalah kepada Jens Roch 6-15, 3-15Martin Lundgaard/Jens Eriksen kln Jochen Cassel/Kristof Hopp 15-8, 15-7
PIALA UBER
DENMARK 3 BELANDA 2
Camilla Martin kalah kepada Yao Jie 8-11, 11-8, 8-11Tine Rasmussen kln Karina De Wit 11-7, 5-11, 11-4camilla Sorensen kalah kepada Judith Meulendijks 3-11, 8-11Rikke Olsen/Ann-Lou Jorgensen kln Lotte Bruil-Jonathans/Karina De Wit 15-6, 12-15, 15-2Mette Schjoldager/Pernille Harder kln Judith Meulendijks/Yao Jie 15-5, 15-10
KOREA 3 INDONESIA 1
Jun Jae Youn kln Silvi Antarini 11-4, 11-1Seo Yoon Hee kln Maria Kristin 11-5, 11-9Lee Yun Hwa kalah kepada Adrianti Firdasari 11-9, 6-11, 7-11Lee Hyo Jung/Hwang Yu Mi vs Jo Novita/Lita Nurlita 14-17, 15-1, 15-12
CHINA 3 MALAYSIA 0
Zhang Ning vs Wong Mew Choo 11-4, 11-5Gao Ling/Huang Sui kln Chin Eei Hui/Wong Pei Tty 15-8 15-5Zhou Mi kln Norshahliza Baharum 11-0, 11-3
TAIWAN 2 JEPUN 3
Cheng Shao Chieh kalah kepada Kanako Yonekura 5-11, 9-11Chien Yu Chin/Cheng Wen Hsing kln Chikako Nakayama/Keiko Yoshitomi 15-10, 15-8Huang Chia Chi kln Kaori Mori 11-4, 8-11, 11-5Chang Yun Ju/Yang Chia Chen kalah kepada Shizuka Yamamoto/Kumiko Ogura 10-15, 10-15Huang Chia Hsin kalah kepada Miho Tanaka 5-11, 0-11

Tiada ulasan:

Catat Ulasan