Sabtu, 29 April 2017

Badminton Remaja Dunia - Malaysia ke suku akhir

ARKIB : 29/10/2004
CHONG Wei Feng meneruskan kejutan pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia apabila menundukkan pilihan kelapan, Ji Hoon Hong dari Korea Selatan untuk mara ke suku akhir di Minoru Arena, Vancouver, Kanada semalam.
Ini merupakan kemenangan kedua pemain berusia 17 tahun itu ke atas pemain pilihan selepas mengejutkan pilihan ke-11 dari Indonesia, Markus Wijanu pada pusingan ketiga kelmarin.
Cabaran Malaysia di Vancouver turut diteruskan oleh beregu harapan dan pilihan kelima, Hoon Thien How-Tan Boon Heong, yang mudah mengetepikan pasangan Rusia, Vladimir Ivanov-Maxim Danchenko 15-5, 15-1.
Begitupun kempen perseorangan utama negara dan pilihan kesembilan, Azrihaniff Azahar berakhir dengan keka-lahan 10-15, 3-15 di tangan pilihan kelima, Lu Qicheng dari China.
Selepas menundukkan Markus 17-15, 15-5 kelmarin, semalam Wei Feng memerlukan 43 minit untuk menyingkirkan Hoon Hong 17-14, 15-10.
Laluannya untuk ke separuh akhir bagaimanapun tidak mudah kerana bakal berdepan pilihan kedua dari China, Gong Weijie yang mara selepas mengetepikan Feng Chia Hua dari Taiwan 15-7, 17-14.
Thien How-Boon Heong juga bakal menghadapi laluan sukar di suku akhir apabila terpaksa menentang pilihan ketiga juga dari China, Li Rui-Cao Liu. Li-Cao mara selepas menumpaskan pasangan Jerman, Jan-Soren Schulz-Tim Zander 15-10, 15-8.
Sementara itu cabaran Malaysia dalam perseorangan dan beregu wanita berakhir dengan kekalahan Amelia Anscelly serta pasangan Amelia-Haw Chiou Hwee.
Amelia yang beraksi cemerlang dalam dua pusingan pertama nyata bukan tandingan pilihan pertama, Jiang Yanjio dari China selepas tewas mudah 1-11, 0-11.
Bergandingan dengan Chiou Hwee, dia pula gagal menyekat kemaraan pilihan ketiga dari Korea Selatan, Ha Jung Eun-Oh Seul Ki 0-15, 4-15.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan