Selasa, 11 April 2017

Jumpa Sri Lanka di pembukaan - Misbun turunkan pasukan terbaik



ARKIB : 12/02/2004

Oleh SRY ANGRENI MOHD. ZET

KETUA jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek akan tetap menurunkan barisan terbaik pada perlawanan pertama mereka di pusingan kelayakan kejohanan badminton Piala Thomas bertemu Sri Lanka 18 Februari ini.

Misbun berkata, walaupun Sri Lanka bukanlah pasukan yang setaraf dengan mereka namun tidak memperlekehkan kemampuan pasukan lawan.

``Saya tidak tahu kekuatan pemain Sri Lanka. Walau bagaimanapun kami akan menganggap ia perlawanan mudah. Apa yang penting kita perlu menang 5-0 bertemu mereka,'' katanya di Kuala Lumpur, semalam.

Skuad Piala Thomas negara akan bertemu Sri Lanka dalam perlawanan kumpulan D Rabu depan sebelum berdepan Hong Kong pada hari berikutnya.

Malaysia perlu muncul juara peringkat kumpulan untuk memastikan mereka memperoleh salah satu daripada lima tiket yang ditawarkan untuk zon Asia bagi pusingan akhir di Jakarta Mei ini.

Sekiranya gagal Malaysia perlu beraksi dalam perlawanan play off dengan tiga lagi naib juara kumpulan bagi merebut tiket kelima ke pusingan akhir itu.

Mengenai pertemuan dengan Hong Kong, Misbun berkata, ia merupakan perlawanan sengit kerana kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan yang hampir sama.

``Tahap permainan pemain kita dengan Hong Kong hampir sama. Mereka mempunyai kekuatan dua pemain perseorangan dan satu beregu sama seperti kita juga. Kalau tidak dapat mengatasi mereka pun sudah memadai,'' katanya ditanya mengenai pertemuan dengan negara bekas jajahan British itu.

Menurut Misbun dua pemain perseorangan Hong Kong, Ng Wei dan Agus Hariyanto dianggap merbahaya. Begitu juga beregu utama mereka, Tam Lok Tin dan Lam Hoi Tak yang turut mampu memberi mata kepada pasukan itu.

Sri Lanka menyenaraikan enam pemain iaitu Niluka Karanaratne, U.D.R.P Kumara, N. John, Thujhara Edirisinghe, Chameera Kumarapperuma, Duminda Jayakody.

Pemain Hong Kong pula terdiri daripada Ng Wei, Agus Hariyanto, Yohan Hadikusumo Wiratama, Hung Yuk Wong, Tam Lok Tin, Lam Hoi Tak, Albertus Susanto, Liu Kwok Wa, Zheng Yu Min.

Malaysia pula menurunkan gabungan pemain muda dan berpengalaman terdiri daripada Wong Choong Hann, Roslin Hashim, Lee Chong Wei, Kuan Beng Hong, Choong Tan Fook, Lee Wan Wah, Chew Choon Eng, Chan Kim Wai, Koo Kien Kiet dan Gan Taik Chai.

Pusingan kelayakan Piala Thomas-Uber 2004 akan berlangsung di Stadium Badminton Kuala Lumpur, 16-22 Februari ini.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4dw5dF8ah
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan