Sabtu, 8 April 2017

Mara di China



ARKIB : 16/11/2003 
MALAYSIA semakin menghampiri peluang merangkul gelaran berganda dengan kemaraan dua wakilnya, Wong Choong Hann dan pasangan beregu, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah ke perlawanan akhir badminton Terbuka China di Guanzhou, semalam.

Ini merupakan kali kedua berturut-turut dua wakil negara, pemain perseorangan dan pasangan beregu mara ke perlawanan akhir Terbuka China yang sebelum ini selalu dikuasai oleh peserta tuan rumah.

Choong Hann yang menjuarai Terbuka Taiwan minggu lepas mara setelah menewaskan bekas pemain nombor satu dunia, Peter Gade Christensen dari Denmark.

Pemain kelahiran Kuala Lumpur berusia 26 tahun itu bangkit dari kekalahan 6-15 pada set pertama untuk menang 15-3, 15-6 sekali gus menempah tempat ke perlawanan akhir kejohanan enam bintang yang menawarkan hadiah wang tunai berjumlah AS$250,000 (RM950,000) itu.

Ia merupakan kemaraan ketiga Choong Hann ke perlawanan akhir Terbuka China sejak 2001.

Kemenangan kali ini membuka peluang kepada Choong Hann untuk mempertahankan kejuaraannya sekali gus menjuarai dua kejohanan berturut-turut.

Naib juara kejohanan dunia itu akan bertemu pemain tuan rumah, Lin Dan dalam perebutan takhta kejuaraan hari ini.

Tahun lalu Choong Hann menewaskan pemain Denmark, Kenneth Jonassen di separuh akhir sebelum menundukkan pemain tuan rumah, Chen Hong di akhir.

Sementara itu, beregu harapan ke Sukan Olimpik, Tan Fook-Wan Wah yang memburu gelaran pertama mereka tahun ini mara setelah menewaskan pasangan tuan rumah, Cheng Rui-Wang Wei 15-1, 15-10.

Ia merupakan kemaraan kedua beregu berpengalaman itu ke perlawanan akhir selepas Terbuka Hong Kong bulan lepas.

Pasangan itu bagaimanapun bakal menghadapi persaingan sengit apabila bertemu juara dunia, Lars Paaske dan Jonas Rasmussen dari Denmark hari ini.

Beregu pilihan utama kejohanan itu mara setelah menewaskan satu lagi pasangan China, Fu Haifeng-Cai Yun, semalam.

Kongsi Konten di :


SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dhia0n3k
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan