Isnin, 10 April 2017

Hafiz pulih menjelang kelayakan Piala Thomas



ARKIB : 22/01/2004

PEMAIN badminton, Muhd. Hafiz Hashim dijangka pulih sepenuhnya dan dapat diturunkan menjelang persiapan negara menghadapi pusingan kelayakan Piala Thomas-Uber di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras, bulan depan, lapor SRY ANGRENI MOHD ZET.

Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Dr Ramlan Aziz berkata, juara Seluruh England itu sudah boleh berlatih lebih keras terutama menggunakan tangannya tetapi perlu berhati-hati agar kecederaannya tidak berulang.

``Dia berpeluang diturunkan untuk pusingan kelayakan Piala Thomas kerana tahap kecergasannya tidak terjejas akibat kecederaan yang hanya melibatkan pergelangan tangan.

``Memandangkan dia terus melakukan latihan kecuali yang melibatkan pergerakan keras tangan kanannya, kecergasan pemain ini tidak banyak terjejas,'' katanya yang dihubungi semalam.

Dr Ramlan berkata demikian ketika diminta mengulas keadaan Hafiz, 20, yang mengalami kecederaan pergelangan tangan sejak Oktober lepas.

Menurut Dr. Ramlan beliau akan membuat ujian minggu lepas sebelum mengesahkan pemain itu boleh beraksi semula.

Kecederaan Hafiz yang mencatat sejarah menjuarai acara perseorangan Seluruh England awal tahun lepas berulang awal bulan lepas apabila dia membuat persediaan untuk menyertai kejohanan Terbuka Kuala Lumpur.

Jurulatihnya, Rahman Sidek juga mengakui pemain itu tidak menghadapi masalah dari segi kecergasan, cuma perlu menumpukan latihan lebih keras menggunakan tangannya apabila mendapat kebenaran doktor.

``Dia berlatih seperti biasa, cuma ketika ini kurang menumpukan kepada pergerakan tangan yang terlalu kuat. Dari segi kecergasan dan pergerakan kaki, dia tidak mempunyai masalah dan sekiranya dipilih, dia boleh beraksi pada pusingan kelayakan Piala Thomas nanti,'' ujarnya.

Pusingan kelayakan Piala Thomas-Uber bagi zon Asia akan berlangsung dari 17-22 Februari ini sementara pusingan akhir akan diadakan di Jakarta Mei depan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4dqui4RMa
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan