Selasa, 25 April 2017

Beregu negara nombor 1 dunia

ARKIB : 06/08/2004
TAN Fook (kanan) dan Wan Wah menerima berita gembira menjelang Sukan Olimpik Athens apabila muncul pasangan nombor satu dunia dalam ranking terbaru Persekutuan Badminton Antarabangsa, semalam.


PASANGAN Choong Tan Fook-Lee Wan Wah menerima suntikan semangat dalam usahanya memburu pingat emas Olimpik pertama Malaysia di Athens apabila bergelar beregu nombor satu dunia dalam ranking terbaru Persekutuan Badminton Antarabangsa semalam.
Ini merupakan pencapaian tertinggi sepanjang karier kedua-dua pemain senior itu selepas tiga minggu berada di ranking kedua dunia, sejak 8 Julai lalu.
Kejayaan menjuarai Terbuka Malaysia dan Sukan SEA, selain muncul naib juara Seluruh England merupakan pencapaian yang menjulang Tan Fook-Wan Wah merampas takhta teratas dunia.
Walaupun kedudukan terbaru ini tidak memberi kesan terhadap undian Olimpik, namun ia tetap menjadi penyuntik semangat tambahan buat pasangan negara itu sebelum berangkat ke Athens, Ahad ini. Undian temasya dibuat berdasarkan ranking 1 Mei.
``Memang menjadi idaman setiap pemain untuk menjadi nombor satu dunia terutama menjelang temasya besar seperti Olimpik. Kami amat gembira,'' kata Tan Fook, yang mara ke separuh akhir pada Olimpik Sydney empat tahun lalu.
``Status terbaru ini sama sekali tidak akan menambah tekanan, sebaliknya ia akan membantu kami untuk memasuki gelanggang dengan lebih yakin,'' tegasnya lagi.
Juara Seluruh England, Lars Paaske-Jonas Rasmussen yang menguasai kedudukan teratas dunia selama 36 minggu berturut-turut jatuh ke tangga ketiga, manakala pasangan veteran Korea Selatan, Ha Tae Kwon-Kim Dong Moon naik ke ranking kedua.
Beregu kedua negara, Chan Chong Ming-Chew Choon Eng yang pernah merasai status nombor satu dunia selama tujuh minggu pada April 2002 jatuh lima anak tangga kepada ranking 22 dunia.
Sementara itu juara Terbuka Malaysia, Lee Chong Wei turut menerima suntikan semangat untuk membuat penampilan sulung Olimpik apabila menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia buat kali pertama, naik dua anak tangga daripada ranking ke-12 minggu lalu.
Bagaimanapun nasib berbeza menimpa perseorangan utama negara, Wong Choong Hann yang mengalami kemerosotan tiga anak tangga daripada kedudukan ketiga dunia kepada keenam.
Pemain veteran yang turut menjadi sandaran Malaysia pada temasya 13-29 Ogos ini, Mohd. Roslin Hashim tidak berganjak daripada ranking 14 dunia yang didiami sejak 8 Julai lalu.
Bintang remaja China dan juara Seluruh England, Lin Dan mengekalkan kedudukan nombor satu dunia buat minggu ke-21, diikuti rakan senegara, Chen Hong di tempat kedua.
Wakil tunggal Malaysia dalam beregu wanita dan pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel 2002, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui pula mengalami kenaikan satu anak tangga kepada ranking 19 dunia.
Ranking terbaru dunia:
LELAKI, perseorangan: 1. Lin Dan (Chn); 2. Chen Hong (Chn); Peter Gade-Christensen (Den); 4. Lee Hyun Il (Kor); 5. Bao Chunlai (Chn); 6. WONG CHOONG HANN; 7. Sony Dwi Kuncoro (Ina); 8. Xia Xuanze (Chn): 9. Ronald Susilo (Sin); 10. LEE CHONG WEI; 14. MOHD. ROSLIN HASHIM; 23. MUHD. HAFIZ HASHIM; 30. LEE TSUEN SENG; 36. YEOH KAY BIN; 39. SAIRUL AMAR AYOB

Beregu: 1. CHOONG TAN FOOK-LEE WAN WAH; 2. Ha Tae-kwon-Kim Dong-moon (Kor); Lars Paaske-Jonas Rasmussen (Den); 4. Fu Haifeng-Cai Yun (Chn); 5. Luluk Hadiyanto-Alven Yulianto (Ina); 6. Jens Eriksen-Martin Lundgaard Hansen (Den); 7. Flandi Limpele-Eng Hian (Ina); 8. Sang Yang-Zheng Bo (Chn); 9. Lee Dong Soo-Yoo Yong Sung (Kor); 10. Tri Kusharjanto-Sigit Budiarto (Ina); 22. CHAN CHONG MING-CHEW CHOON ENG; 32. GAN TAIK CHAI-KOO KIEN KEAT



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan