Sabtu, 8 April 2017

Beregu kita kecundang di HK



ARKIB : 03/11/2003

KECEMERLANGAN beregu negara, Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah pada Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong tersekat pada perlawanan akhir semalam apabila kecundang kepada pasangan Korea Selatan, Lee Dong Soo-Yoo Yong Song dalam pertarungan sengit tiga set di Stadium Queen Elizabeth, semalam.

Selepas membuat kejutan dengan menyingkir beregu nombor satu dunia, Hae Tae Kwon-Kim Dong Moon pada suku akhir dan Jens Eriksen-Martin Lundgaard pada separuh akhir, pasangan veteran negara gagal melepasi satu lagi pasangan Korea itu dan tewas 13-15, 15-6, 6-15.

Dong Soo-Yong Song sebelum itu mara ke akhir selepas menewaskan beregu Indonesia, Trikush Hariyanto-Sigit Budiarto.

Kekalahan itu juga menyaksikan Tan Fook-Wan Wah terus gagal menyambar kejuaraan sulung yang diburu mereka musim ini.

Walaupun gandingan negara yang berada di ranking ke-13 dunia berusaha gigih untuk cuba mencatat kemenangan pertama musim ini, pasangan Korea yang merupakan pilihan ketiga kejohanan, jelas mempamerkan permainan lebih bertenaga.

Tan Fook-Wan Wah memberi saingan sengit pada set pertama sebelum tewas 13-15 tetapi bangkit pada set kedua untuk menghidupkan kembali peluang dengan kemenangan 15-6.

Tidak seperti dua perlawanan sebelum ini yang mana gandingan Malaysia itu menang pada babak suku akhir dan separuh akhir setelah tewas set pertama, kali ini Tan Fook-Wan Wah gagal mengulanginya pada set ketiga dan tewas mudah 6-15.

Kekalahan itu juga menjejaskan buruan mata penting buat gandingan Tan Fook-Wan Wah untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2004 di Athens.

Begitupun, kemaraan ke akhir itu merupakan pencapaian terbaik bagi Tan Fook-Wan Wah musim ini selepas gandingan itu berehat agak lama akibat kecederaan.

Sebelum ini, mereka tersekat di separuh akhir pada tiga kejohanan iaitu Terbuka Malaysia, Singapura dan Indonesia.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4deSsYmU1
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan