Sabtu, 29 April 2017

Empat pemain negara terus mara

ARKIB : 27/10/2004
KESEMUA empat perseorangan lelaki negara melepasi halangan awal Kejohanan Badminton Remaja Dunia dengan melangkah ke pusingan ketiga di Minoru Arena, Vancouver, Kanada, semalam.
Cabaran Malaysia juga diteruskan oleh dua wakil perseorangan wanita, Amelia Anscelly dan Anita Raj Kaur serta beregu campuran, Kenn Lim-Amelia.
Azrihaniff Azahar, 18, satu-satunya pemain perseorangan lelaki negara yang mendapat status pilihan iaitu ke-9/16 menang straight-set 15-8, 15-8 ke atas Jorrit De Ruiter dari Belanda.
Dia yang menerima bye di pusingan pertama kini akan bertemu Derek Wong dari Singapura pada pusingan ketiga hari ini.
Kenn Lim pula menepati ramalan apabila tidak menghadapi masalah untuk mengetepikan Maxim Danchenko dari Rusia 15-2, 15-8 pada pusingan kedua.
Bagaimanapun dia bakal berdepan tugas paling berat apabila menentang penyandang juara dan pilihan pertama, Jin Chen dari China di pusingan ketiga.
Tan Chun Seang menempah pertemuan dengan pilihan ke-6/9, Vivoonsin Sittichai dari Thailand pada pusingan ketiga.
Pada pusingan pertama, dia menewaskan Iztok Utrosa dari Sloenia 15-0, 15-0 dan menang 15-3, 15-9 ke atas Khlestov Konstantin dari Rusia di pusingan kedua.
Chong Wei Feng melengkapkan hari cemerlang pemain negara apabila mudah menundukkan Vladimir Ivanov dari Rusia 15-8, 15-2 untuk bertemu pilihan ke-9/12, Markus Vijanu dari Indonesia.
Sementara itu, Amelia yang mendapat bye pada pusingan pertama tidak menghadapi masalah untuk menewaskan pencabar dari Peru, Christina Alcardi Cagigao 11-4, 11-3.
Dia yang merupakan antara tonggak penting yang membantu Malaysia menundukkan England 3-2 untuk menduduki tangga kelima acara berpasukan bakal berdepan Yukina Oku dari Jepun.
Cabaran perseorangan wanita negara turut diteruskan oleh Anita yang hanya diberi tentangan pada set pertama sebelum mengalahkan Kristina Ludikova dari Republik Czech 11-6, 11-0.
Menantinya pada pusingan ketiga adalah Chang Ya Lan dari Taiwan.
Dalam perlawanan beregu campuran, hanya Ken Lim-Amelia berjaya meneruskan saingan ke pusingan kedua selepas menumpaskan Antonio De Vinatea Estrad-Claudia Rivero Modenesi dari Peru 15-8, 15-5.
Beregu negara itu bakal berdepan kesukaran pada pusingan kedua apabila berdepan pilihan ke-3/4 dari China, He Hanbin-Yu Yang.
Dalam dua perlawanan lain, Hoon Tien How-Haw Chiou Hwee tewas kepada Fang Chieh Min-Tsai Pei Ling dari Taiwan, 7-15, 11-15, Chong Wei Feng-Anita Raj Kaur pula tumpas 4-15, 6-15 kepada pasangan Singapura, Koh Yan Sen-Vanessa Neo.
Malaysia pernah memenangi gelaran pada Kejohanan Remaja Dunia menerusi Chan Chong Ming-Jeremy Gan dalam beregu lelaki pada 1996.
Dua tahun kemudian, Chong Ming berpasangan dengan Teo Kok Seng untuk mempertahankan gelaran beregu lelaki, manakala bergandingan dengan Joanne Quay dia membawa pulang kejuaraan beregu campuran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan