Isnin, 3 April 2017

Kepulangan naib juara dunia dari Birmingham - Sambutan wira buat Choong Hann



ARKIB : 07/08/2003
Hishamuddin mengiringi Choong Hann yang disambut meriah oleh peminat-peminatnya sebaik tiba dari United Kingdom di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam selepas berjaya muncul naib juara acara perseorangan Kejohanan Dunia di Birmingham Ahad lalu. - Gambar Saiful Bahari Ashaari.

WALAUPUN gagal menjuarai Kejohanan Badminton Dunia ke-13 di Birmingham, England, kepulangan naib juara Wong Choong Hann tetap diberi sambutan meriah sebagai wira negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, semalam.

Yang berada di balai ketibaan VIP, menyambut ketibaan Choong Hann termasuk Menteri Belia dan Sukan Datuk Hishammuddin Hussein, ibu bapanya, Low Siew Har dan Wong Sew Pin serta nenek, Yip Ah Fah dan kira-kira 50 orang penuntut Akademi Badminton.

Ketibaannya diiringi oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk Talaat Husain, Naib Presiden Persatuan Badminton Malaysia Datuk Roland Wong, jurulatih perseorangan Misbun Sidek dan jurulatih pasukan beregu Cheah Soon Kit.

Dalam sidang media bersama Hishammuddin, Choong Hann berkata penyertaan beliau dalam Kejohanan Dunia itu adalah yang terbaik buat dirinya apabila beliau mampu mara ke peringkat akhir.

``Walaupun begitu saya agak kecewa kerana tidak memenanginya. Namun ia tetap jadi pendorong kepada saya untuk persiapan ke kejohanan-kejohanan lain yang akan datang, terutamanya Sukan Olimpik,'' katanya.

Sebelum menyertai Sukan Olimpik tahun depan, Choong Hann dijadual menyertai Kejohanan Terbuka Singapura, Terbuka Malaysia dan Terbuka Indonesia.

``Penyertaan itu adalah untuk membolehkan saya layak ke Sukan Olimpik. Saya juga akan memberi tumpuan yang sebaik mungkin kepada Kejohanan Piala Thomas,'' katanya.

Ditanya persiapannya jika bertemu sekali lagi dengan pemain pilihan kelima China, Xia Xuanze, Choong Hann berkata terdapat banyak perkara yang perlu dipelajari dan dikaji, khususnya daripada segi teknik permainan lawan menerusi rakaman yang dibuat untuk membantu beliau memperbaiki mutu permainannya.

Jelas Choong Hann, beliau agak terkilan kerana gagal memintas Xuanze untuk memenangi perlawanan khususnya apabila bermain rubber set. Pemain China itu mendahului dengan 5-4 tetapi Choong Hann berjaya menyamakan kedudukan 5-5.

Xuanze yang bijak membaca pergerakan lawannya mendominasi permainan dan menamatkan permainan rubber set dengan 15-6 dalam tempoh 33 minit. Pemain China itu menewaskan Choong Hann dengan 6-15, 15-13 dan 6-15.

``Ia satu tentangan mental. Saya rasa sedikit kecewa tetapi ia satu pengalaman dan pengajaran baru buat saya,'' kata Choong Hann ketika diminta mengulas rekod kekalahan lapan kali kepada pemain China itu.

Choong Hann tidak pernah memenangi lapan perlawanan perseorangan ketika bertemu Xuanze sejak pertama kali bertemu pada tahun 1999.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0807&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dC4teDBf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan