Isnin, 10 April 2017

Hafiz yakin layak ke Olimpik



ARKIB : 01/02/2004

GAGAL mendapat tempat dalam skuad kelayakan Piala Thomas tidak menyentap semangat Muhammad Hafiz Hashim, sebaliknya juara Seluruh England itu yakin peluangnya untuk layak ke Sukan Olimpik Athens, Ogos ini masih terbuka.

Malah Hafiz percaya, tidak menyertai sebarang pertandingan sepanjang Februari ini memberi ruang kepadanya untuk menyiapkan diri bagi menghadapi cabaran besar seperti Seluruh England dan beberapa kejohanan kelayakan Olimpik, bulan depan.

``Saya tidak terkejut nama saya tidak tersenarai, walaupun sebelum ini saya ada kata saya bersedia untuk beraksi,'' kata Hafiz, tonggak utama skuad negara ketika melayakkan diri ke perlawanan akhir Piala Thomas 2002.

``Kalau dipilih, saya akan memberikan permainan terbaik itu janji saya. Tetapi apabila tidak terpilih, tumpuan saya sekarang adalah menyiapkan diri untuk kejohanan lain, Mac ini,'' katanya lagi.

Hafiz, 22, mengakui tempoh 1 Mac hingga 30 April (tarikh tutup kelayakan Olimpik) terlalu singkat, namun dia sedia menyahut cabaran itu dan berharap mendapat kepercayaan untuk beraksi dalam lebih banyak kejohanan sepanjang Mac dan April.

Katanya lagi, dia bersedia untuk bertanding pada kejohanan-kejohanan kecil asalnya jumlah pertandingan adalah ba-nyak kerana ia memberi peluang lebih baik untuk mengutip mata berbanding beraksi pada kejohanan besar.

``Bagaimanapun saya tetap berharap dapat mempertahankan gelaran Seluruh England Mac ini. Selepas atau sebelum itu, kalau hanya hantar saya ke pertandingan kecil, saya tidak kisah.

``Saya juga berharap dapat beraksi pada Terbuka Switzerland (2-7 Mac) kerana ia akan menjadi kejohanan antarabangsa pertama saya selepas berehat panjang,'' katanya lagi yang akan menyambut Hari Raya Aidiladha bersama keluarga jurulatih kebangsaan, Misbun Sidek di Banting, Selangor hari ini.

Kecederaan pergelangan tangan yang dihadapi Hafiz memaksa dia melupakan sebarang pertandingan sejak tiga bulan lalu, termasuk mengetepikan Sukan SEA Vietnam, Disember lalu.

Hafiz yang mengakui masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan tersebut memilih untuk meneruskan latihan bersama jurulatih Rahman Sidek di kelab Nusa Mahsuri di Kelana Jaya sehingga kejohanan Seluruh England.

Dalam ranking terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF), Hafiz berada di kedudukan ke-22. Hanya 14 pemain layak secara automatik ke temasya 13-29 Ogos itu.

Kelmarin, Persatuan Badminton Malaysia membuat kejutan dengan menyenaraikan pemain muda, Kuan Beng Hong dalam senarai kelayakan Piala Thomas, mengetepikan pemain senior seperti Hafiz, Lee Tsuen Seng dan Yeoh Kay Bin.

Menurut Hafiz, pemilihan Beng Hong tidak mengejutkanya kerana pemain itu sememangnya memiliki potensi besar dan kelayakan Piala Thomas akan menjadi peluang terbaik buatnya untuk menonjolkan diri.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4drOxK1g0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan