Selasa, 4 April 2017

Bukan rezeki buat Hafiz



ARKIB : 21/08/2003
Daripada BAZLI ABDUL RAHMAN

SINGAPURA - Hasrat Muhammad Hafiz Hashim untuk menamatkan badi tersingkir di pusingan awal tidak kesampaian apabila juara Seluruh England itu tumpas pada pusingan pertama kejohanan Badminton Terbuka Singapura di Stadium Tertutup Singapura, Kallang di sini, semalam.

Hafiz tersingkir setelah gagal menyaingi kehebatan pemain China, Chen Hong yang menang 15-11, 17-14.

Ia merupakan penyingkiran di pusingan awal kali keempat berturut-turut buat pemain kelahiran Kelantan itu sejak menjuarai Seluruh England.

Hafiz bermula baik apabila mendahului 5-0, namun pemain China itu bangkit dan mencatat 8-5 dan 10-9 sebelum menamatkan set tersebut dengan 15-11.

Set kedua pula menyaksikan Hafiz yang ketinggalan 1-6 berjaya mengutip mata demi mata untuk mendahului 10-6 sebelum Chen Hong bangkit dan mengikat kedudukan 10-10.

Mereka kemudian terikat 14 sama untuk memaksa permainan diteruskan ke mata dius sebelum Chen Hong akhirnya memastikan tiket ke pusingan kedua setelah menang 17-14.

Sementara itu, naib juara kejohanan dunia, Wong Choong Hann mengetuai senarai enam pemain perseorangan negara yang berjaya melepasi pusingan awal.

Selain Choong Hann, turut mara Lee Tsuen Seng, Roslin Hashim, Lee Chong Wei dan dua pemain serpihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Sairul Amar Ayob dan Ong Ewe Hock.

Choong Hann tidak menghadapi masalah menyingkirkan pemain Jepun, Sato Shoji 15-6,15-13 tetapi Sairul terpaksa bermain tiga set dengan sebelum menumpaskan Hariyanto Agus dari Hong Kong 15-9,14-17,15-8.

Tsuen Seng pula menundukkan Dicky Palyama dari Belanda 15-11,15-11, manakala Roslin menamatkan cabaran pemain perseorangan Thailand, Boonsak Polsana 15-5,15-9.

Ewe Hock pula mudah mengalahkan Sergio Llopis dari Sepanyol 15-3,15-4 manakala Chong Wei menyingkirkan Eric Go dari Amerika Syarikat dengan 15-6,15-5. Selain Muhd Hafiz, turut tewas ialah Yong Hock Kin, K.Yogendran, Yeoh Kay Bin, Kuan Beng Hong dan Ismail Saman. - Utusan

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0821&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dHirkHPt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan