Jumaat, 21 April 2017

Malaysia penuh bersemangat

ARKIB : 06/05/2004
MISBUN SIDEK (kiri) memberi taklimat kepada pemain-pemain perseorangan termasuk Roslin Hashim (kanan) sebaik tiba di hotel penginapan pasukan badminton negara di Jakarta, semalam. - Gambar NAZUDEEN MAHMUD.


Jakarta - Barisan pemain skuad badminton Piala Thomas dan Uber negara tiba di sini lewat petang semalam tetapi terpaksa membatalkan hasrat untuk menjalani latihan pertama di Gelora Bung Karno Senayan di sini gara-gara kelewatan ketika mendaftar masuk ke hotel penginapan.
Mengikut jadual penganjur, pasukan negara sepatutnya menjalani latihan dari pukul 5.00 hingga 6.30 petang (waktu tempatan) di Gelora Bung Karno Senayan semalam, yang menjadi gelanggang pusingan akhir badminton Piala Thomas dan Uber yang bermula esok.
Namun rombongan pemain negara hanya tiba di hotel penginapan pada pukul 6.00 petang dan hanya menjalani latihan berjogging selama setengah jam sahaja di sekitar gelanggang tenis berdekatan hotel penginapan.
``Para pemain agak keletihan. Kami hanya tiba di sini pukul 6.00 petang. Saya terpaksa mengambil keputusan membatalkan latihan di gelanggang pertandingan hari ini,'' kata jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek, yang kelihatan keletihan bersama kumpulan besar pemain untuk kedua-dua kejohanan Piala Thomas dan Uber.
Begitupun Misbun tidak menganggap ia sebagai satu masalah besar yang menjadi penghalang untuk pasukannya beraksi dengan baik pada kejohanan ini.
``Para pemain sudah cukup bersedia. Ini hanya sebahagian daripada apa yang harus dilalui sama seperti dalam pertandingan,'' kata Misbun sambil menambah, para pemain negara hanya memulakan latihan pertama mereka di gelanggang pertandingan pagi ini.
Mengenai undian untuk kejohanan ini, Misbun mengakui bahawa halangan utama Malaysia sudah pastinya pasukan tuan rumah, Indonesia, China dan Korea.
``Saya tidak fikir kita akan menghadapi masalah dalam saingan awal peringkat kumpulan. Yang jelas, mengikut undian, pasukan negara tidak akan terlepas sama ada bertemu Indonesia, China atau Korea.
``Kita tidak boleh lari atau mengelak pertemuan menentang mereka. Lebih baik berdepan dengan salah satu pasukan itu di peringkat awal,'' jelas Misbun.
Malaysia yang diletak dalam Kumpulan C bersama Thailand dan Afrika Selatan dijangka tidak menghadapi masalah untuk menjuarai kumpulan tetapi kejayaan itu nanti bermakna mereka akan berdepan cabaran China atau Indonesia dari Kumpulan A yang turut dianggotai oleh pasukan lemah, Amerika Syarikat pada peringkat suku akhir nanti.
Mengikut carta undian di peringkat kalah mati, juara Kumpulan C yang dianggotai oleh Malaysia, Thailand dan Afrika Selatan, dijadual bertemu naib juara Kumpulan A.
Atas kertas, tidak mungkin Malaysia mengakhiri cabaran peringkat kumpulan di tempat kedua, kecuali mereka tewas kepada Thailand.
``Kita akan melihat situasi pertandingan tetapi saya tidak mahu para pemain mengambil mudah setiap pertemuan,'' kata Misbun.
Malaysia akan memulakan cabaran menentang Afrika Selatan, yang mendapat bimbingan bekas jurulatih perseorangan negara, Morten Frost Hansen dari Denmark.
``Saya tahu tentang pembabitan Frost bersama pasukan itu. Meskipun Afrika Selatan bukan kuasa besar dalam sukan badminton, para pemain tetap dituntut mempamerkan aksi terbaik,'' komen Misbun. - Utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan