Selasa, 4 April 2017

Hafiz, Roslin lepasi halangan



ARKIB : 28/08/2003

BATAM, Indonesia - Juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim dan abangnya, Roslin Hashim melepasi pusingan awal kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Stadium Tertutup Temenggong Abdul Jamal yang bermula semalam.

Hafiz mengenepikan cabaran pemain dari Korea Selatan, Park Tae Sang 15-9, 15-11 sementara Roslin pula mengenepikan cabaran pemain kelahiran Indonesia yang mewakili Wales, Irwansyah 15-7, 15-11.

Begitupun Roslin terpaksa bekerja keras ketika menentang lawannya, Irwansyah dengan mengambil masa hampir sejam sebelum menang.

Malah Roslin sendiri mengakui sukar baginya ketika berdepan dengan Irwansyah dan satu ketika ketinggalan jauh 2-8.

``Dia mempamerkan aksi menyerang di setiap sudut dan tidak memberi ruang kepada saya untuk bermain secara rali,'' kata Roslin.

Selepas kedudukan terikat 11-11 dalam set kedua, Roslin memaksa lawannya melakukan kesilapan sebelum menang dengan 15-11.

Adiknya, Hafiz juga tidak mendapat laluan mudah ketika berdepan dengan pemain Korea Selatan yang pantas.

Hafiz akan bertemu pemain dari Sweden, Rasmus Wengberg pada pusingan kedua hari ini.

Seorang lagi pemain Malaysia, Allan Tai juga mara ke pusingan kedua dengan menumpaskan pemain Jepun, Yuichi Ikeda 17-15, 15-1 tetapi Ismail Saman pula tewas kepada pemain Singapura kelahiran Indonesia, Ronald Susilo 15-12, 15-7.

Dalam perseorangan wanita, Wong Mew Choo dan Woon Sze Mei terkeluar daripada saingan pusingan pertama.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0828&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dIIJB7p8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan