Sabtu, 8 April 2017

Beregu kita ke akhir



ARKIB : 02/11/2003

BEREGU negara, Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah semakin hampir untuk merangkul kejuaraan pertama mereka musim ini apabila mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong selepas menundukkan pasangan Denmark, Jens Eriksen-Martin Lundgaard pada aksi separuh akhir di Stadium Queen Elizabeth, semalam.

Begitupun, pasangan veteran negara itu mempamerkan corak permainan yang boleh memakan diri sendiri apabila bermain sebagaimana babak suku akhir kelmarin dengan bangkit pada set kedua setelah tewas pada set pertama.

Tan Fook-Wan Wah tewas 6-15 pada set pertama tetapi bermain penuh tenaga untuk bangkit mengatasi pasangan pilihan ketiga kejohanan itu itu dengan kemenangan 15-5 pada set kedua.

Pasangan negara yang berada di tangga ke-13 dalam ranking dunia, terus mempamerkan semangat juang tinggi pada set ketiga dan melakar kemenangan 15-7 ke atas beregu nombor dua dunia itu untuk menempah tempat ke perlawanan akhir yang berlangsung hari ini.

Sebelum perlawanan itu, rekod pertemuan antara dua beregu itu memihak kepada pasangan Denmark. Tan Fook-Wan Wah tidak pernah menang ke atas pasangan itu dalam dua pertemuan sebelum ini.

Kali terakhir kedua-dua pasangan itu bertemu ialah tahun lalu pada suku akhir Terbuka Switzerland yang dimenangi Eriksen-Lundgaard 5-7, 5-7, 1-7 dan kemudian di peringkat yang sama Seluruh England Februari lalu yang menyaksikan pasangan Malaysia tewas 10-15, 8-15.

Dalam Terbuka Hong Kong ini, Eriksen-Lundgaard melangkah ke separuh akhir selepas menewaskan gandingan Indonesia, Trikush Aryanto-Sigit Budiarto 15-7, 15-9.

Sebelum melangkah ke akhir, gandingan negara bimbingan jurulatih, Yap Kim Hock mencipta kejutan pada babak suku akhir kelmarin apabila menumpaskan pilihan utama kejohanan, Ha Tae Kwon-Kim Dong-moon.

Mereka menang dengan 10-15, 15-9, 17-14 dalam pertarungan sengit dan mendebarkan.

Tan Fook-Wan Wah menjadi wakil tunggal negara yang masih meneruskan aksi dalam kejohanan ini selepas dua pemain perseorangan, Muhd. Hafiz dan Muhd. Roslin Hashim masing-masing kecundang pada suku akhir.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4deRoh1Fl
© Utusan Melayu (M) BhdS

Tiada ulasan:

Catat Ulasan