Ahad, 23 April 2017

Choong Hann tersingkir awal

ARKIB : 01/07/2004
PEMAIN nombor satu negara yang bakal membawa cabaran Sukan Olimpik Athens, Wong Choong Hann tersingkir seawal pusingan pertama Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia selepas tumpas kepada bekas juara dunia, Peter Rasmussen dari Denmark semalam.
Choong Hann, pilihan ketiga dan antara tiga pemain Malaysia yang akan beraksi di Athens, Ogos ini tumpas 4-15, 15-4, 10-15 dalam masa 50 minit di Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan.
Selepas tewas mudah 4-15 dalam set pertama, naib juara dunia itu bangkit daripada ketinggalan 0-7 pada set kedua untuk menyamakan kedudukan 15-4 dalam masa 11 minit.
Bagaimanapun kedua-dua mereka bermain berhati-hati pada set penentuan dan juara dunia 1997, Rasmussen, yang hanya menduduki ranking ke-84 dunia mendahului 12-8 sebelum menang 15-10.
``Saya kecewa dengan permainan saya hari ini. Saya bagaikan hilang punca dan dipaksa mengikut rentak permainannya,'' kata Choong Hann.
Kegagalan Choong Hann itu bagaimanapun berjaya ditebus oleh dua lagi wakil Malaysia ke Athens, Mohd. Roslin Hashim dan Lee Chong Wei.
Turut meneruskan cabaran adalah beregu utama negara, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Chan Chong Ming-Chew Choon Eng, selain pasangan muda, Tan Bin Shen-Ong Soon Hock.
Roslin, 29, tidak menghadapi bayak masalah untuk menyingkirkan Jim Ronny Andersen dari Norway, 15-6, 15-6, manakala naib juara tahun lalu dan pilihan ke-13, Chong Wei diberi tentangan sengit sebelum menewaskan pemain Indonesia, Mahardi Wiempie 17-14, 15-13.
Naib juara Seluruh England, Tan Fook-Wan Wah juga dikerah berkerja-keras untuk menumpaskan beregu Indonesia, Candra Wijaya-Flandi Limpele 15-11, 9-15, 15-0 dan menempah pertemuan dengan Hendra Gunawan-Joko Riyadi juga dari Indonesia.
Chong Ming-Choon Eng pula bangkit daripada kekalahan di set pertama untuk menewaskan pasangan England, Nathan Robertson-Anthony Clark 13-15, 15-8, 17-14. Bin Shen-Soon Hock menewaskan Ruben Gordown Khosadalina-Sindoro Ajibasuki dari Indonesia 15-1, 15-4.
Cabaran perseorangan negara turut diteruskan bekas juara Seluruh England , Muhd. Hafiz Hashim, Lee Tsuen Seng, Yeoh Kay Bin, Kuan Beng Hong, juara 2002, James Chua dan Ismail Saman.
Hafiz hampir dikejutkan oleh pemain Thailand, Thirayu Laohathaimongkol sebelum menang 15-10, 12-15, 15-2 dan akan bertemu pemain Indonesia, Marleve Mainaky.
Tsuen Seng mengetepikan Sergio Llopis dari Sepanyol 15-7, 15-4, Kay Bin menumpaskan Zhang Yang dari Hong Kong 15-5, 15-7 dan Beng Hong mengatasi Przemyslaw Wacha dari Poland 15-6, 15-3.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan