Selasa, 18 April 2017

Lima pemain senior bawa cabaran

ARKIB : 17/04/2004
PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) membariskan lima pemain perseorangan senior terbaik untuk menghadapi cabaran Piala Thomas di Jakarta bermula 7 hingga 16 Mei ini walaupun tidak memaksa mereka untuk mendapat kemenangan unggul pada cabaran berkenaan.
Presiden BAM, Datuk Mohd. Nadzmi Salleh berkata, ini bertujuan memberi lebih banyak pendedahan dan persiapan kepada skuad senior untuk membolehkan mereka bersedia menghadapi cabaran ke Sukan Olimpik di Athens, Ogos ini.
``Bukan kita mengharapkan kekalahan dan tidak ada strategi untuk saja kalah tetapi saya yakin dengan persiapan di Jakarta nanti, kita mampu memberikan tumpuan untuk Olimpik.
``Kita membariskan pemain terbaik dan saya yakin mereka akan berusaha di Jakarta dan kita juga tidak mahu terlalu hampa dengan keputusan yang bakal diterima kelak,'' katanya kepada pemberita selepas mengumumkan senarai nama skuad Piala Thomas-Uber di Kuala Lumpur semalam.
Walau pun menyedari penyokong kemungkinan akan marah dengan tindakan BAM itu, Mohd. Nadzmi percaya pemain akan berusaha untuk mendapatkan kejayaan mengikut kemampuan mereka.
Dalam pada itu, Mohd. Nadzmi berkata bekas juara Seluruh England, Muhammad Hafiz Hashim dan Lee Tsuen Seng, yang menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan sejak setahun lalu turut tersenarai dalam skuad Piala Thomas nanti.
``Daripada apa yang kami lihat, kedua-dua pemain telah menunjukkan prestasi yang baik sebelum ini dalam acara pasukan dan mereka juga berjaya menunjukkan semangat yang tinggi untuk itu,'' katanya.
Dengan tersenarainya Muhammad Hafiz dan Tsuen Seng, pemain muda, Kuan Beng Hong yang bermain pada peringkat kelayakan Piala Thomas Zon Asia beberapa bulan lalu telah digugurkan bersama-sama Yeoh Kay Bin.
Sementara itu, beregu utama negara, Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah merupakan sandaran utama untuk mendapatkan mata bersama-sama beregu kedua Chew Choon Eng, Chan Chong Ming dan pemain baru Koo Kien Keat.
``Jika Gan (Teik Chai) telah sembuh, kemungkinan dia akan dipilih berbanding Chong Ming yang juga masih belum sembuh tetapi saya lihat Chong Ming menunjukkan peningkatan dalam persembahannya dan yakin akan sembuh sepenuhnya menjelang perlawanan akhir nanti,'' kata jurulatih beregu negara, Yap Kim Hock.
Berbanding dengan skuad Piala Thomas, BAM menyenaraikan pemain muda bagi skuad Piala Uber untuk memberikan lebih banyak pendedahan kejohanan antarabangsa kepada pemain wanita.
``Walau pun kita tahu kemungkinan untuk menang adalah sukar tetapi adalah lebih baik peluang ini digunakan untuk pendedahan kepada skuad junior wanita,'' kata jurulatih perseorangan negara Misbun Sidek selepas menamakan pemain muda K. Sugita dan Anita Raj Kaur untuk bersama-sama pemain utama Wong Mew Choo, Woon Sze Mei dan Norshahliza Baharom bagi skuad Piala Uber.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan