Jumaat, 21 April 2017

Suku akhir faktor penentu

ARKIB : 04/05/2004
PEMAIN perseorangan, Wong Choong Hann menyifatkan `hidup mati' perjuangan Malaysia untuk merampas Piala Thomas 2004 di Jakarta mulai Jumaat ini bergantung kepada pertemuan suku akhir berdepan tuan rumah, Indonesia atau China.
Malah menurut Choong Hann, pertembungan suku akhir itu kelak ibarat perlawanan akhir apabila berdepan dua kuasa besar sukan badminton dunia itu.
Begitupun ujar Choong Hann, dia dan rakan-rakan tidak gentar siapa lawan Malaysia pada peringkat suku akhir sama ada Indonesia atau China.
``Saya tidak kisah siapa pun lawan Malaysia pada suku akhir. Bagi saya, Indonesia atau China sama sahaja.
``Jika kita berjaya melepasi halangan suku akhir, saya yakin misi merebut kembali Piala Thomas cukup cerah,'' katanya.
Skuad Piala Thomas negara yang akan berlepas ke Jakarta esok dan mereka akan membuka saingan dalam Kumpulan C bertemu Afrika Selatan pada 7 Mei sebelum melengkapkan jadual pusingan awal menentang Thailand pada 9 Mei, untuk menentukan juara kumpulan.
Jika Malaysia muncul juara kumpulan, skuad negara akan bertemu Indonesia di suku akhir jika tuan rumah menduduki tempat kedua Kumpulan A dan tewas kepada pilihan pertama, China.
Choong Hann yang akan membuat penampilan keempat pada Piala Thomas 2004 berkata halangan suku akhir boleh dilepasi jika pemain beraksi pada paras normal tanpa berasa tertekan.
Menurutnya, pemain negara sudah masak dengan rentak permainan lawan sama ada Indonesia atau China.
``Berdasarkan semangat tinggi yang ditunjukkan oleh pemain negara, saya yakin kita mampu melepasi halangan suku akhir tanpa mengira siapa pun lawan kita kelak,'' katanya.
Menurut Choong Hann, dia tetap memberi tumpuan sepenuhnya pada Piala Thomas 2004 sekali pun telah layak ke Olimpik Athens.
Menurutnya, Piala Thomas bukanlah gelanggang pemanas badan sebaliknya menganggap kedua-dua kejohanan itu sama penting.
``Cuma Piala Thomas 2004 akan memberi lebih peluang kepada saya untuk membuat persediaan rapi menjelang Sukan Olimpik di Athens Ogos depan,'' katanya.
Selain Choong Hann, cabaran Malaysia untuk acara perseorangan ke kejohanan yang berlangsung 7-16 Mei ini akan turut digalas oleh Mohd. Roslin Hashim, Lee Chong Wei, Muhammad Hafiz Hashim dan Lee Tsuen Seng.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan