Isnin, 3 April 2017

Choong Hann mara ke akhir



ARKIB : 03/08/2003
WONG CHOONG HANN mengembalikan hantaran pemain Korea Selatan, Seung-mo dalam perlawanan separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia di Birmingham, semalam. Choong Hann menang 15-4, 15-5. - Gambar AFP.

BIRMINGHAM, England - Wong Choong Hann semakin menghampiri kejuaraan dunia pertama buat Malaysia apabila melangkah mudah ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Dunia di National Indoor Arena, semalam.

Choong Hann yang mencatat satu lagi sejarah dalam badminton negara dengan muncul perseorangan pertama Malaysia beraksi dalam perlawanan akhir mengekalkan rekod cemerlang di Birmingham apabila menundukkan Shon Seung-mo dari Korea 15-4, 15-5.

Kemenangan straight-set semalam turut menyaksikan Choong Hann kini memenangi kesemua lima perlawanannya minggu ini tanpa melepaskan sebarang set, sekaligus melangkah penuh yakin untuk berdepan pemenang antara dua pemain China, Xia Xuanze atau Bao Chunlai yang akan berentap dalam satu lagi saingan separuh akhir.

``Ini merupakan sejarah. Saya sudah melangkah sebegini jauh dan saya bersedia untuk pergi lebih jauh dan amat berkeyakinan untuk menghadapi perlawanan esok,'' kata Choong Hann, yang tidak memiliki rekod baik ke atas Xia Xuanze, tewas kesemua tujuh pertemuan mereka.

``Ketika tiba ke sini, sasaran awal saya adalah ke suku akhir. Mara ke separuh akhir satu pencapaian yang baik dan kini saya berada di dalam perlawanan akhir yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pemain perseorangan Malaysia.''

Dalam perlawanan semalam, Choong Hann nyata menguasai sepenuhnya perlawanan, mendahului sejak awal set pertama dan kedua, malah berada 12-0 di depan pada set pembukaan, sebelum menamatkan cabaran dengan 15-4 dalam masa 18 minit.

Seung-mo, pilihan ke-13 yang mengejutkan pemain nombor satu dunia, Chen Hong pada suku akhir kelmarin berjaya memberi sedikit tentangan pada set kedua, namun permainan ke baseline dan kemudian ke jaring Choong Hann kerap memerangkapnya.

Choong Hann, 26, mendahului 4-0, kemudian melebarkan kedudukan kepada 8-1, tetapi hampir membenarkan Seung-mo mengejar 8-3 dan 14-4. ``Saya sudah begitu yakin ketika itu tetapi saya berjaya mengawal perasaan supaya tidak tergopoh-gopoh.

``Kami bertukar sembilan servis pada kedudukan 4-1 (set kedua) dan lima servis pada kedudukan 13-4. Dia (Seung-mo) cuba memberi tentangan yang baik tetapi saya percaya dia terlalu letih selepas dipaksa mengharungi saingan sukar ketika bertemu Chen Hong semalam.''

Mengulas pertemuan akhir hari ini, Choong Hann bersedia untuk berdepan sesiapa saja, sama ada Chunlai mahupun Xuanze, yang kali terakhir ditemui dalam separuh akhir Piala Thomas di Guangzhou, China tahun lalu. Xuanze menang 6-8, 8-6, 7-5, 8-6.

``Saya tidak akan benarkan rekod menjejaskan tumpuan saya esok. Tiada apa yang penting pada rekod pertemuan.

Memang saya tidak pernah menang ke atas Xuanze, tetapi saya mahu menang kalau kami bertemu esok, saya benar-benar bersedia.''

Ketua jurulatih perseorangan negara, Misbun Sidek melihat Choong Hann kini dalam keadaan paling stabil, terutama daripada segi permainan dan mentaliti.

Beliau yakin anak buahnya itu mampu membawa pulang gelaran jika mampu memenangi pertarungan psikologi hari ini.

``Perlawanan esok bukan lagi pertarungan permainan, ia lebih kepada pertarungan psikologi,'' kata Misbun.

``Permainan dan fizikal Choong Hann berada dalam keadaan yang amat stabil dan berpeluang untuk muncul juara tetapi bertemu pemain China dia perlu lebih bersedia daripada segi mentaliti.

``Sejak hari pertama dia bermain dengan amat baik dan berjaya mengekalkan permainan tersebut. Apa pun, menentang China - tanpa mengira Chunlai mahupun Xuanze, peluang tetap 50-50. Kami belum memikirkan strategi apa yang hendak digunakan, tetapi saya pasti aksi esok adalah aksi penuh taktikal.''

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dBVaiQIu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan