Sabtu, 15 Februari 2014

Misbun calon pilihan BAM

Oleh Saiful Affendy Sapran
Foto
Kuala Lumpur: Bekas jurulatih perseorangan lelaki negara Datuk Misbun Sidek antara calon pilihan yang ingin dipujuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi mengisi jawatan Pengarah Kejurulatihan.

Pemilihan Misbun itu dibuat selepas badan induk negara berkenaan terpaksa menolak calon sebelum ini iaitu bekas jaguh perseorangan Denmark Morten Frost Hansen.Antara yang menyebabkan BAM terpaksa melupakan Frost adalah permintaan gaji terlalu tinggi iaitu kira-kira RM100,000 sebulan yang dimahukan oleh juara Seluruh England empat kali itu.

Keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Jawatankuasa Keupayaan, Kemahiran dan Penyelidikan yang dipengerusikan Presiden BAM Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff kelmarin.
MISBUN (kanan) bertanggungjawab bina karier cemerlang Chong Wei.
Turut hadir, jaguh perseorangan lelaki negara Datuk Lee Chong Wei yang mewakili pemain.Menurut sumber, kegagalan mendapatkan Frost mendorong BAM untuk mencari calon pengganti lain dan antara yang menjadi pilihan adalah Misbun.

Namun usaha untuk mendapatkan Misbun bukan mudah dan atas faktor itu, BAM mungkin memerlukan bantuan pihak luar bagi memujuk bekas jurulatih negara itu.

Misbun cukup dikenali sebagai individu yang bertanggungjawab membina karier cemerlang Chong Wei.

Bagaimanapun beliau membuat keputusan mengejut dengan meletak jawatan pada 2011 kerana dikatakan sudah tidak senang dengan pengurusan BAM.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/02/15

MYMETRO ONLINE 15.2.14

Jumaat, 14 Februari 2014

Sedia jadi pasangan Boon Heong

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Bekas juara remaja dunia dalam acara beregu, Ow Yao Han hanya menunggu dan berlatih seperti biasa selepas pasangannya, Teo Kok Siang sekarang ini sedang berehat selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Johor dua hari sebelum sambutan Tahun Baharu Cina bulan lepas.

Yao Han yang muncul juara remaja dunia dua kali berturut-turut pada 2009 dan 2010, kini hanya menunggu keputusan daripada pihak pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tentang masa depannya ataupun rakan gandingannya.

"Saya diberitahu mereka (pengurusan) mahu memberi fokus kepada Piala Thomas 2014 terlebih dahulu, mungkin kalau ada mana-mana ruang yang kosong, saya boleh bergandingan dengan pemain tersebut," katanya kepada media selepas tamat sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Kok Siang patah siku kanan dan dijangka berehat selama tiga bulan. Ini meletakkan situasi dan hala tuju Yao Han untuk tahun ini masih lagi menjadi tanda tanya.

"Sekarang ini saya masih belum ada rakan gandingan tetapi saya kerap berpasangan dengan Tan Boon Heong ketika dalam latihan," katanya, sambil mengakui bersedia jika pihak pengurusan membuat keputusan untuk menggandingkannya dengan Boon Heong.

Boon Heong juga terpaksa berlatih tanpa rakan Koo Kien Keat yang masih lagi berehat kerana melakukan rawatan laser di bahagian mata setelah mengalami jangkitan kuman.

"Memang sangat bagus buat saya untuk bergandingan dengan Boon Heong kerana saya dapat belajar, jika diberi peluang untuk terus menjadi pasangan tetap juga saya bersedia.

"Bagaimanapun semuanya kena tunggu keputusan daripada jurulatih Pang Cheh Chang, saya tidak boleh cakap apa-apa, namun setakat ini banyak saya pelajari dari dia (Boon Heong). Dia ajar bagaimana untuk melakukan pukulan dan taktikal dalam perlawanan," katanya.
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140213/su_02/Sedia-jadi-pasangan-Boon-Heong#ixzz2tHttvvh1 © Utusan Melayu (M) Bhd