Jumaat, 14 Februari 2014

Sedia jadi pasangan Boon Heong

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Bekas juara remaja dunia dalam acara beregu, Ow Yao Han hanya menunggu dan berlatih seperti biasa selepas pasangannya, Teo Kok Siang sekarang ini sedang berehat selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Johor dua hari sebelum sambutan Tahun Baharu Cina bulan lepas.

Yao Han yang muncul juara remaja dunia dua kali berturut-turut pada 2009 dan 2010, kini hanya menunggu keputusan daripada pihak pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tentang masa depannya ataupun rakan gandingannya.

"Saya diberitahu mereka (pengurusan) mahu memberi fokus kepada Piala Thomas 2014 terlebih dahulu, mungkin kalau ada mana-mana ruang yang kosong, saya boleh bergandingan dengan pemain tersebut," katanya kepada media selepas tamat sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Kok Siang patah siku kanan dan dijangka berehat selama tiga bulan. Ini meletakkan situasi dan hala tuju Yao Han untuk tahun ini masih lagi menjadi tanda tanya.

"Sekarang ini saya masih belum ada rakan gandingan tetapi saya kerap berpasangan dengan Tan Boon Heong ketika dalam latihan," katanya, sambil mengakui bersedia jika pihak pengurusan membuat keputusan untuk menggandingkannya dengan Boon Heong.

Boon Heong juga terpaksa berlatih tanpa rakan Koo Kien Keat yang masih lagi berehat kerana melakukan rawatan laser di bahagian mata setelah mengalami jangkitan kuman.

"Memang sangat bagus buat saya untuk bergandingan dengan Boon Heong kerana saya dapat belajar, jika diberi peluang untuk terus menjadi pasangan tetap juga saya bersedia.

"Bagaimanapun semuanya kena tunggu keputusan daripada jurulatih Pang Cheh Chang, saya tidak boleh cakap apa-apa, namun setakat ini banyak saya pelajari dari dia (Boon Heong). Dia ajar bagaimana untuk melakukan pukulan dan taktikal dalam perlawanan," katanya.
SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140213/su_02/Sedia-jadi-pasangan-Boon-Heong#ixzz2tHttvvh1 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan